Slumber Merdayka 2017
Impero Studio
Empire Damansara
30 Ogos 2017
8pm hingga Merdeka!!
Kali ini penulis dan Abang Rom ke Empire Damansara, atau lebih tepat lagi ke Impero Studio milik saudara Hadie Pranoto. Studio beliau telah beberapa kali menganjurkan gig sebelum ini, dan telah menjadi salah satu lokasi tumpuan buat pemuzik di sekitar Kuala Lumpur serta Damansara.
Rekaletak studio yang lapang dan selesa merupakan daya tarikan istimewa Impero kepada warga muzik di sekitarnya. Kalau kalian nak cuba jam, atau buat recording di sini, check out lah fb page serta ig mereka ok. Kelas muzik pun ada di sini. Search saja nama ini; Impero Studio.
Terus ke gig. Setibanya kami ke lokasi acara, rugi rasanya kerana band pembuka bagi malam tersebut telahpun selesai membuat persembahan. Anavrin, baru beberapa minggu lalu juga kami telah menyaksikan mereka di ATAS. Sorry Anavrin, lain kali kami tonton anda lagi ya.
Pink Acid, band yang sedang membuat persembahan tatkala kami tiba ke sana. Sebuah persembahan yang bertenaga sekali daripada Julian dan rakan rakan. Para peminat muzik hard rock, bolehlah mendapatkan EP mereka yang baru sahaja dirilis. Beberapa masalah teknikal yang mengiringi persembahan mereka di saat saat akhir persembahan tidak mematahkan semangat mereka untuk tetap memberikan persembahan yang menarik. Colleens turut menyapa kami di hadapan pentas. Bagi peminat muzik bawah tanah, pasti kenal si cantik ni. Julian ni adik beliau ya!
Kyogg merupakan band seterusnya yang mengambil alih pentas Slumber Merdayka pada malam itu. Nama yang telah beberapa kali juga saya perasan tertulis di dada flyers gig, namun malam ini merupakan kesempatan pertama untuk melihat mereka bermain live. Band ini pada saya amat mencuri tumpuan. Walaupun pada saat mula.. mula mereka melangkah ke pentas. Mahunya tidak, pakaian serta attitude yang ‘dah lama tak nampak’ di kalangan band kita, ada pada band ini.
Wah, lain macam betul, fikir saya. Indie rock electro pop psychedelia, ini muzik bawaan mereka, menurut fb mereka. Santai dan gila gila mereka ni. Sedap! Saya suka.
Pada waktu ini masa telah agak tight, sedangkan terdapat lagi 5 band belum membuat persembahan.
Usai geng rambut panjang turun dari pentas, tiba pula giliran abang abang botak membuat persembahan. Uncure, nama baru bagi saya, namun dibarisi muka muka otai scene juga. Antaranya adalah Anas ACAB selaku gitar dan vokal, serta Zul ACAB selaku pemain bass. Beberapa lagu ‘evergreen’ bagi masyarakat skinhead tanah air turut mereka mainkan, diselitkan dengan laguan mereka sendiri. Sudah pastinya meriah tapak acara dengan sing along mereka.
Setelah itu, mood oi! disambung lagi dengan kehadiran Roots N Boots ke atas pentas. Saya difahamkan slot ini sebenarnya milik band lain namun disegerakan giliran Sood dan rakan rakan oleh kerana jam telah pun hampir ke pukul 12 tengah malam, dan seseorang perlu melaungkan MERDEKA!!
Dan Sood lah yang paling tepat bagi melakukan tugas tersebut.
Tapak acara bergema dengan countdown beramai ramai para pengunjung gig, dengan diketuai oleh Sood. Dan pada jam tepat 12 malam, Sood dengan cemerlangnya telah memainkan peranan “Tunku Abdul Rahman” buat kami semua dan melaungkan dengan sepenuh hati…
MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!!!
Alhamdulillah! Malaya sudah merdeka!
Tak bagi chance rehat, Roots N Boots meneruskan sesi mereka, menghiburkan sekalian pengunjung dengan lagu lagu mereka, lama dan baru. Hmm…lagu lagu baru mereka agak menjanjikan sesuatu. Jangan lupa check out ya guys.
Lupa bila kali terakhir saya melihat mereka sebelum ini. Namun saya terpana betul dengan keletahnya si Sood. Attitude yang amat tepat sebagai seorang frontman yang berjaya. Jenis frontman yang mampu membuatkan crowd yang gemar duduk belakang belakang turut maju ke depan.
Masa benar benar tight!
OAG kini mengambil alih stage. Ah….apalah yang boleh saya tuliskan lagi mengenai Radhi dan rakan rakannya ini. Anda semua tahu, kan? Comel, gila gila, dan keletah Radhi tak pernah menghampakan kita yang menonton. Lagu, pelbagai, ada yang lama dan baru. Yang pasti, tiada “60s TV” malam ini.
Di lagu keempat tak salah penulis, di kala crowd belum puas dengan OAG, penganjur telahpun menunjukkan isyarat ‘berhenti’. Saya mengeluarkan handphone, jam telah menunjukkan lebih jam 1 pagi ketika ini. Patutlah…
Dua band yang tidak berkesempatan membuat persembahan malam ini akibat kekangan masa ialah Seikan No dan Doqumentri.
Saya pasti penganjur telah berusaha sebaik mungkin dalam soal pengurusan waktu, namun beberapa masalah teknikal semasa persembahan band band terawal telah mengakibatkan masa teranjak lalu ‘terlajak’.
Mari kita berikan tepukan gemuruh buat penganjur serta semua band yang terlibat di atas penganjuran gig yang patriotik ini!
Kami berharap pihak penganjur, Impero Studio akan terus gigih menganjur acara serupa ini di masa masa yang akan datang. Kami di ROTTW sentiasa menyokong usaha anda.
Sekian laporan Slumber Merdayka 2017, dari saya.
MERDEKA!!!
TEKS : TOMMY LOVE
FOTO : TOMMY LOVE/ JUNIOR