Dari sudut sejarah, sudah wujud sebuah mitos yang pernah menjadi mimpi ngeri buat pemuzik aliran bawah tanah pada lewat 90’an/awal era tahun 2000, dan masyarakat juga turut berkongsi mimpi ngeri ini; gejala murtad, menyekutukan tuhan, ritual, atau apa sahaja amalan khurafat yang sekaligus menjahanamkan akidah. Mimpi ngeri ini selalu dikaitkan dengan genre black metal yang dijadikan punca utama, walaupun pada hakikatnya tok bomoh, dukun, pawang serta pengamal ilmu sihir di celahan kampung yang nun jauh dari kawasan bandar tidak tahu apa-apa langsung akan maksud black metal(!?). Maka, media serta penulis bebas di blog di internet juga masih lagi tidak henti-henti memberi respon yang sama terhadap kelompok kecil ini untuk bergerak secara positif. Itulah mitos black metal yang telah wujud setelah sekian lama di Malaysia. Sehingga kehari ini, masih lagi terdapat penulisan dari blog-blog tempatan yang menulis, termasuk dari sudut agama yang mengecam perilaku pengikut aliran ini, berserta sisipan gambar dari internet yang menggambarkan seorang pengikut black metal dengan perwatakan corpse paint, inverted cross, spike dan sebagainya. Mungkin, hal itu adalah sesuatu yang amat jelas lagi bersuluh, bahawasanya black metal sering dikaitkan dengan unsur-unsur satanism yang pernah dibawa oleh kumpulan muzik Eropah, barat atau dari mana-mana sahaja. Namun, untuk mengubah persepsi mereka terhadap hal ini mungkin agak sukar kerana mereka hanya menulis dengan pandangan yang amat terbatas, lagipun juga hal itu tidak pernah wujud pun di Malaysia (kalau ada pun, mungkin sekadar gimik oleh kumpulan muzik semasa diatas pentas, dan tidaklah keterlaluan).
Black metal itu hanyalah sekadar konsep sahaja untuk menggambarkan keadaan sesuatu perkara. Sama juga halnya seperti konsep dalam pembikinan filem yang mempunyai genre tersendiri seram, komedi, cinta, epik dan lain-lain lagi. Jika kita ambil filem seram, akan ada juga unsur-unsur ritual, hantu, mayat, syaitan/iblis berserta tulisan berdarah atau lain-lain konsep yang agak menaikkan “goosebumps” untuk dijadikan visual. Sama juga halnya novel yang bergenre seram seperti yang pernah ditulis oleh Tamar Jalis; tak masuk akal rasanya jika novel seram diletakkan ilustrasi pasangan yang sedang bercinta ditepi pantai. Setiap genre ini sudah mempunyai konsep asas untuk difahami oleh masyarakat. Namun, kita tidak boleh menjangkakan pandangan masyarakat juga, kerana sudah ada yang berubah pandangan terhadap isu lapuk ini, hanya tinggal media serta segolongan kecil masyarakat yang masih belum dibukakan pandangan seluas-luasnya terhadap perkara sebenar; bahawasanya pemuzik sebegini hanyalah manusia biasa yang masih lagi menjalankan kehidupan normal seperti manusia-manusia yang lainnya.
Walauapapun, pemilihan muzik sub-aliran metal sebegini oleh Daarchlea boleh disifatkan sebagai sesuatu yang berani juga, ketika generasi muda sekarang lebih selesa dan cenderung dengan metal yang menggambarkan imej bersih, bergaya, tampan, menawan (cool.. SWAG!) dan disukai ramai. Dilihat sebagai generasi baru muzik berat, serta sering dikaitkan dengan black metal, mereka masih lagi meneruskan jalan cerita kumpulan ini sehinggalah terlahirnya album sulung yang diberi nama “Suns”, yang telah dilancarkan pada sekitar Ogos 2014. Tanpa mempedulikan pandangan negatif segolongan pihak terhadap mitos yang pernah wujud, mereka ‘menghidangkan’ sesuatu yang agak berat; berat sound yang didengar, berat lagi konsep album mereka. Dari sudut visual, terutamanya pada rekaan kulit album, ianya seakan-akan mempunyai motif rekaan lama naskah “muqaddam”, berserta tulisan jawi hampir sepenuhnya. Begitu juga dengan rekaan logo mereka yang bermotifkan “backward forward”, konsep yang pernah digunapakai oleh salah sebuah gerakan organisasi sulit terbesar di dunia. Mungkin, ini juga adalah suatu perkara untuk dinilai masyarakat tentang apa yang ingin disampaikan mereka; bukan sekadar jeritan yang diiring bunyi yang berat, namun terselit pesanan untuk direnung bersama. Kewujudan mereka pada saat ini juga dianggap sebagai ‘refreshment’ terhadap muzik black metal di Malaysia (walau dengan intipati berbeza) selepas generasi terawal; Mistik, As-Sahar, Nebiras, Hayagriva, Dark Nirrajim dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa kumpulan) yang pernah wujud selepas lebih sedekad yang lalu di gelanggang muzik bawah tanah. Suatu perkara yang menjadi pertikaian daripada mereka ialah, tentang genre yang sedang mereka perjuangkan ini. Mungkin, kerana isu yang pernah melanda Malaysia suatu masa dahulu juga membuatkan mereka berasa amat berat dalam menangani tuduhan bahawa mereka adalah sebuah kumpulan black metal. Kesukaran untuk memperjelas isu sebenar ini juga rasanya bersebab, kerana aliran black metal sememangnya teramat sinonim dengan sifat yang terlalu kompleks dan ekstrim untuk ditampilkan kepada umum, dan mereka teramat berhati-hati semasa menghuraikannya. Dilihat dan dilabel sebagai pembawa panji-panji black metal ini bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Kerana itu juga, wujud sesetengah kumpulan yang hanya mahu menumpukan perhatian terhadap komposisi muzikal sahaja tanpa mengangkat unsur-unsur budaya “kabbalah” (Mesir purba), yang pada kebiasaannya diangkat sebagai konsep asas dan simbol dalam mereka seperti kebanyakan kumpulan metal yang lain; pentagram, kepala kambing, piramid, karektor Lucifer dan lain-lain lagi symbol yang agak sukar difahami. Penampilan Daarchlea untuk rilisan album pertama ini kelihatan agak neutral, namun masih mempunyai unsur kegelapan; tiada perkara yang bercanggah atau berkaitan dengan mana-mana agama wahyu atau agama budaya di atas bumi ini secara tersurat. Namun, apa yang tersirat hanya mereka sahaja yang tahu. Ironinya, mereka masih tetap mengakui yang sebahagian daripada sumber ilham penulisan serta komposisi lagu ini tercetus sewaktu berjalan ditengah malam melewati kawasan perkuburan.
Baca seterusnya dalam ROTTW 191
TEKS: MALIK TEMURAMAH: ABG. ROM FOTO: ASYRAF ZULKEFLI