
LIVE IN KUALA LUMPUR
9 SEPTEMBER 2022

Pengumuman mengenai kedatangan mereka ke Kuala Lumpur sekitar Julai 2022 yang lalu sememangnya menjadi pengubat rindu bagi seluruh baladewa dan baladewi yang telah wujud di Malaysia sekitar awal/lewat 90-an, mungkin. Ditambah pula dengan kehadiran Ahmad Dhani Prasetyo pada kali ini sudah tentu paling ditunggu-tunggu, memandangkan kehadiran mereka pada tahun 2019 lalu tanpa kelibatnya, agak terkesan jugalah buat penonton yang hadir pada ketika itu. Ibaratnya separuh nafas Dewa19 telah hilang ketika itu. Tiket yang habis dijual juga menjadi petanda betapa kuatnya pengaruh mereka, sehingga terpaksa ditambah satu hari lagi persembahan (9 September) bagi membuka ruang kepada lebih ramai baladewa dan baladewi untuk datang ke Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 & 10 September untuk menikmati hidangan 30 tahun, 30 kota dan 30 lagu selama 3 jam pada kedua-dua malam itu.
Bercerita tentang Dewa19, semestinya kebanyakan dari kita mempunyai pelbagai cabang pendapat dan jalan penceritaan; sudut muzik, sudut politik mahupun dari sudut fahaman Sufism yang amat diminati Dhani semenjak dari usia mudanya. Sufism itu telah menjadi sebahagian daripada Dhani dalam membentuk Dewa19 sehingga ke hari ini. Hal ini turut dinyatakan oleh Saniboey Mohd Ismail (bekas wartawan Harian Metro yang banyak menulis tentang band-band Indonesia semenjak 1995) melalui hantaran facebook-nya baru-baru ini, iaitu tentang obsesi Dhani terhadap falsafah cinta ahli sufi, Maulana Jalaluddin Rumi. Tidak hairanlah jika diluar pentas Axiata, ternampak kelibat manusia yang datang dengan berjubah dan berserban sebagai tanda penghormatan dan penghayatannya terhadap elemen Sufism yang telah ditanam kedalam kebanyakan hasil karya Dhani. Malangnya, sewaktu lensa kamera kami ingin bersiap sedia untuk merakam kelibat manusia berjubah itu, lalu ia terus hilang.
Sedikit mengecewakan juga apabila kami dimaklumkan bahawa pass untuk media telah habis. Mana mungkin dengan konsert berskala besar seperti ini dan berlangsung selama dua hari, mereka tidak mengambilkira tentang hal seperti pass/tag untuk media, hanya diberi wristband sahaja. Sedangkan, ini baru hari pertama konsert. Dan, Kebanyakan petugas konsert juga masih juga bertanyakan pass (tag) masuk kepada kami sewaktu masuk ke dewan utama. Bila ditunjukkan wristband, mereka masih lagi terpinga-pinga, sehinggalah mereka mengerti. Bukan sahaja media, crew dari bahagian AV juga hanya diberikan wristband dan tidak dibekalkan dengan tag crew yang menyebabkan mereka agak khuatir untuk bergerak keluar dan masuk. Diharapkan pihak penganjur boleh memperbaiki keadaan ini pada masa hadapan jika mengendalikan siri konsert yang lainnya.
Beberapa hari sebelum konsert, timbul juga persoalan, apakah mereka akan lebih fokus untuk membawakan lagu-lagu dari kebanyakan album terbaru (Bintang Lima, Cintailah Cinta, Laskar Cinta dan seterusnya), kerana Dewa19 mula bertapak secara rasminya dengan album Bintang Lima sekitar tahun 2000. Ternyata, saya salah kerana pembuka tirai mereka adalah Restoe Boemi. Selama bertahun-tahun juga saya cuba menghadam album-album terdahulu mereka yang mempunyai unsur-unsur misteri, mitos dan mengelirukan. Dan pada malam itu, banyak juga mereka membawakan lagu-lagu dari album lama; “Self-titled/DEWA19”, Format Masa Depan, Terbaik Terbaik dan Pandawa Lima. Cuma, sedikit terkilan kerana lagu pembuka itu disampaikan oleh penyanyi terbaru, Virzha & Marcello Tahitoe (Ello). Namun tidak mengapa, persembahan mereka masih mantap. Sejujurnya, saya berhenti menjadi baladewa selepas album Republik Cinta, dan tidak mengikuti langsung tentang perkembangan terbaru Dewa sewaktu berlaku rombakan anggota dan projek sampingan Dhani bersama band lain; TRIAD (sebelumnya The Rock) dan Mahadewa bersama line-up terbaru, sehinggalah pada malam itu mereka mempersembahkan lagu “Aku Milikmu” dengan gubahan dram yang lebih segar bawaan Agung Yudha. Lagu ini telah mengubah persepsi saya tentang mereka.
Persembahan mereka telah dibahagikan kepada beberapa set. Set pertama menampilkan penyanyi baharu Virzha dan Ello dengan lagu-lagu seperti Restoe boemi, I Want To Break Free dan Still I Am Sure We’ll Love Again. Manakala Cinta Gila dibawakan sendiri oleh Ahmad Dhani. Ello meneruskan set persembahan dengan lagu Juliette, Aspirasi Putih, Takkan Ada Cinta Yang Lain, Bayang-Bayang, dan sebuah lagu cover lagi iaitu Careless Whisper. Set Virzha secara solo pula menyampaikan lagu Selatan Jakarta, Bunga, Aku Milikmu, dan Larut. Sewaktu di pertengahan set pertama, para media dibenarkan untuk masuk ke hadapan pentas melepasi pagar penonton untuk sesi foto, dan dikhabarkan juga kami dibenarkan masuk sehingga habis set pertama.
Namun, sekali lagi dikecewakan apabila kesemua para media diminta keluar semula walaupun set pertama masih berjalan. Anggaran lebih kurang 15 minit/2 lagu sahaja. Mungkin boleh dibaiki lagi tentang mutu layanan terhadap media pada masa akan datang. Sebelum berhenti bagi set pertama, Dhani menyampaikan Hadapi Dengan Senyuman secara akustik dan disambung dengan Angin. Sewaktu Hadapi Dengan Senyuman, seluruh dewan ditutupi lampu, hanya cahaya lampu dari telefon penonton sahaja yang menemani suasana pada ketika itu. Dhani sempat menyingkap tentang ketidakhadirannya pada konsert 2019 yang lalu sambil berkata, “Kita doakan semoga orang-orang dzolim selalu musnah di muka bumi ini”.
Untuk set kedua, iaitu ‘Chapter 1’ persembahan mereka dibahagikan kepada Once dan Ari Lasso. Kehadiran mereka berdua sangat dinanti-nantikan terutama sekali Once apabila menyampaikan lagu yang paling sinonim dengan suaranya, Roman Picisan, dan diteruskan dengan Arjuna, Perempuan Paling Cantik, Negeriku Indonesia, Dewi, Dua Sedjoli, Lagu Cinta dan Mistikus Cinta. Untuk lagu Sedang Ingin Bercinta itu, dinyanyikan sendiri oleh Dhani. Sewaktu intro Cinta ‘Kan Membawamu kedengaran, saya sudahpun membayangkan suara Ari Lasso. Dan, ternyata beliau muncul pada set ini dengan pembawaan yang amat baik sekali. Karektor dan sikap professional Ari Lasso mungkin lebih menyerlah dan tidak gugup sewaktu berinteraksi dengan penonton, menunjukkan beliau sememangnya seorang yang senior dan berpengalaman dalam ahli Dewa19. Ari Lasso meneruskan set dengan Elang, Aku Disini, Satu Hati, dan Cukup Siti Nurbaya. Mereka meneruskan ‘Chapter 2’ tanpa interval seperti set pertama tadi, menandakan Once tampil lagi dengan Pangeran Cinta, Risalah Hati, Satu, Cemburu, Sayap-Sayap Patah, dan Pupus. Penamat bagi set Ari Lasso pula adalah dengan membawakan lagu Kirana, Kangen, Kamulah Satu-Satunya, dan encore Separuh Nafas menampilkan kesemua penyanyi semenjak dari awal persembahan.
30 tahun sememangnya sebuah tempoh yang agak panjang untuk sesebuah band itu terus berjuang selagi terdaya. Dan Dewa19 telah membuktikan siapakah mereka sebenarnya. Mungkin sinonim dengan nama band mereka? Sememangnya, nama itu do’a. Namun, apakah ianya sudah termakbul? Kerana nama band ini sahaja pernah dipersoalkan pada cover ROTTW keluaran 102 (Mei 2005). Walauapapun, kehadiran saya pada malam itu bukan hanya sekadar untuk berhibur, malah lebih daripada itu, untuk memahami tentang kewujudan mereka. Dan, kehadiran saya juga bukanlah sebagai baladewa, tetapi sebagai manusia biasa sahaja.
Teks: xMindfieldx. Foto : @echolaliapictures