ULASAN
CROMOK & BARBARIK LIVE
DI IDEA LIVE ARENA
27 JUN 2026
Siapa kata thrash metal dan heavy rock tanah air sudah hilang taring? Sesiapa yang membanjiri Idea Live Arena, malam kelmarin (27 Jun 2026) pastinya pulang dengan kepuasan cuma ada segelintir peminat mereka komen yang mereka mengharapkan ada gimik di pentas selain daripada persembahan musik semata-mata.
Konsert Black On White: Cromok-Barbarik anjuran Karl Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik serta mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures bukan sekadar sebuah konsert biasa. Ia adalah satu pembuktian magma muzik berat tempatan masih mempunyai pengaruh yang luar biasa!
Bukan setakat peminat tegar yang datang memenuhi ruang konsert, malah kelibat rakan-rakan seperjuangan industri turut kelihatan memberikan sokongan.
Antara yang sempat krew ROTTW sapa di venue malam kelmarin termasuklah Jac FTG yang kita semua tahu merupakan antara perintis dan penggerak terawal genre thrash metal di Malaysia.
“Bagi saya, sistem bunyi malam ini memang superb dan persembahannya pula bertaraf antarabangsa, terutamanya bila ada Joe yang sentiasa meletakkan standard yang tinggi,” kata Jac (FTG) sambil menambah bahawa Cromok tetap mengekalkan konsep asli mereka yang sarat dengan elemen instrumental dan petikan gitar walaupun kurang unsur thrash arus perdana.
“Gabungan hard rock dan metal tadi memang menarik, walaupun mereka nampak macam bermain selamat (play safe) dan kurang heavy demi menjaga keseimbangan, tapi signature serta impak Cromok itu tetap ada. “Beliau turut memuji kualiti bunyi di ruang berdiri yang mantap dan menyimpulkan, “Konsert malam ini memang puas bagi pencinta muzik tegar sebab mereka hidangkan 100% muzik tanpa ada sebarang gimik pembukaan” kata ikon rock wanita berimej cukup versatil, Abot yang turut hadir memeriahkan suasana.
Malam itu menyaksikan Cromok diberi penghormatan membuka tirai konsert dengan impak yang cukup padat, mereka memulakan amukan dengan trek bertenaga “Black Fury “, menampilkan kolaborasi padu (featuring) bersama Joe Branko. disusuli dengan “Prophecy“, “Stranger“, dan lagu wajib “Memories” serta “Another You“.
Momen paling meremang dan menyentuh jiwa apabila Cromok mendendangkan “Fallen Heroes“. Lagu ini didedikasikan khas sebagai tribute dan penghormatan tertinggi buat dua tiang seri mereka yang telah tiada, Allahyarham Din dan Miji. Karl sendiri menegaskan betapa mendalamnya makna lagu ini untuk mengenang jasa pengasas awal identiti Cromok. Seterusnya, mereka menghangatkan arena dengan I Don”‘t Belong Here” dan “Misery“.
Satu keputusan paling berani malam itu adalah apabila Cromok memperdengarkan lagu baharu mereka, “Wisdom“, sebelum menutup set dengan “Little One“.
Langkah ini membuktikan Cromok tidak sekadar hidup atas trofi nostalgia lama, sebaliknya masih produktif mendidik telinga generasi baharu.
Seterusnya, pentas diserahkan kepada Barbarik untuk meneruskan momentum kegilaan.
Gandingan Mus dan Joe Branko benar-benar menggegarkan dewan bermula dengan “Peluru Cokelat” dan “Kasmaran Selamanya”. Vokal tajam Mus dan riff tebal Joe Branko terus memacu konsert melalui rangkaian lagu “Mencari Asal Usul”, “Nasib Baik”, “Periok Api”, “Inspirasi Syakilla”, “Sakit Bantal Empuk”, dan “Keris Tak Ada Sarong”.
Kemuncak yang paling mencuri perhatian peminat malam itu adalah segmen Special Medley lagu-lagu legenda Kembara iaitu “Hati Emas’, “Impian Seorang Nelayan”, “Ekspress Rakyat”, dan “Impian Anak Jalanan”. Kejutan terbesar berlaku apabila Cromok turun padang menyanyikan lagu-lagu Melayu popular ini! Ini adalah satu momen yang sangat “rare” dan eksklusif kerana jarang sekali kita dapat mendengar mereka membawakan lagu cover Melayu di atas pentas. Barbarik kemudian melabuhkan tirai konsert dengan hidangan penuh bertenaga menerusi lagu “Gerhana” dan “Golok Kayu”.
Di sebalik kelancaran konsert, suasana di bilik sidang media bertukar menjadi sangat emosional sebaik sahaja tirai konsert berlabuh. Satu kisah perjuangan yang agak berat akhirnya didedahkan kepada pihak media.
Sebelum konsert bermula, isteri kepada Mus disahkan kembali berada dalam keadaan kritikal di hospital. Namun, demi memastikan fokus Mus tidak terganggu dan profesionalisme terhadap peminat yang membeli tiket terjaga, berita duka ini dirahsiakan sepenuhnya daripada beliau dan hanya dimaklumkan sebaik sahaja persembahan tamat. Selesai konsert, Mus terus bergegas ke hospital untuk berada di sisi isterinya.
Karl, selaku tonggak penting konsert, berkongsi kenyataan postmortem yang cukup matang dan realistik mengenai perjalanan konsert malam tersebut.
“Puas. Kita nampak ramai yang datang, we have fun. Apa yang penting kita yang berada di atas pentas dan penonton sama-sama enjoy. Mereka datang, mereka rasa seronok dan mereka enjoy. Saya gembira,” ujar Karl memuji tenaga yang diberikan oleh para penonton.
Mengulas mengenai dinamika persembahan dan cabaran di sebalik tabir, Karl menyatakan, “Persembahan tidak pernah sempurna. Dalam kehidupan pun tiada yang sempurna pasti ada kekurangan di mana-mana, tetapi yang penting bagaimana kita menanganinya dan ambil yang terbaik daripada apa yang ada di depan kita.”
Dari sudut teknik, penganjuran ini mendapat markah penuh. Karl mengesahkan, “Malam ini semuanya berjalan lancar, tidak ada tergendala, tidak ada masalah teknikal besar sampai perlu berhenti. Semua berjalan seperti yang dirancang.”
Menjawab persoalan tentang keberanian membawa lagu “Wisdom“, Karl menjelaskan prinsip Cromok yang enggan statik: “Itu biasa. Kita kena tunjuk kita produktif. Bukan semua orang berani main lagu baharu yang belum keluar. Jadi kita kena didik peminat. Kita memang mahu beritahu yang kita masih aktif dan tidak hanya bergantung kepada lagu lama. Penonton yang datang malam ini beruntung sebab mereka menjadi orang pertama yang dengar.”
Mengenai kejutan Sam mendendangkan lagu Melayu, Sam sendiri mengakui ia adalah hadiah istimewa buat peminat. “Mungkin sebab saya nyanyi lagu Melayu yang popular dan semua orang tahu, jadi mereka enjoy… Tetapi untuk saya menyanyi lagu cover Melayu, mungkin istimewa hanya untuk konsert ini,” kata Sam.
Konsert Black On White bukan sekadar bukti bahawa pasaran muzik berat tempatan masih megah, tetapi ia mempamerkan satu standard profesionalisme yang sangat tinggi daripada Cromok, Barbarik, dan seluruh tenaga produksi Karl Legacy. Seluruh warga ROTTW mendoakan kesembuhan dan kekuatan buat isteri serta keluarga Mus.
Secara keseluruhannya, konsert Cromok Barbarik ini berjaya membuktikan standard persembahan mereka yang tersendiri dalam mengekalkan keaslian identiti muzik mereka. Walau bagaimanapun, satu catatan penting dari sudut teknikal adalah mengenai sistem bunyi; untuk sebuah indoor venue, bunyinya terasa agak terlalu kuat dan tajam sehingga mencucuk telinga. Walaupun bunyinya tidak pecah, frekuensi high yang agak kuat itu membuatkan telinga kurang selesa di ruang tertutup yang sepatutnya boleh dilaraskan dengan lebih seimbang.
Namun di sebalik kekurangan itu, konsert ini tetap sebuah hidangan yang jujur dan memuaskan buat pencinta muzik tegar yang dahagakan kualiti persembahan bertaraf antarabangsa.
Sekali lagi, Tahniah kepada semua yang terlibat dalam penganjuran konsert ini.
Teks: Ladyganz
Foto: Haris Badari , Danny Kaleda





















