March 31, 2025

RITZ METALASIA

DSC_7449-3
RTIZ
RTIZ

  RITZ METALASIA(RIZAL HALIM)

Ada seorang artis ini, nama besar jugalah. Bila dia dengar nama saya, terus dia tak nak. Fuh! Terasa hina jugalah. Tapi tak apa, dia belum cuba lagi. Tapi akhirnya dah jodoh, jumpa juga dia dekat tempat lain, dan terpaksalah juga terima saya. Selepas itu dia terus suka. Itulah, belum cuba belum tahu, kan. Metal..metal-lah kan.


 

Kelahiran Metalasia pada lewat tahun 90-an dahulu merupakan salah satu daripada kelompok kumpulan metal yang mula menyerang industri muzik Malaysia secara umum pada waktu itu. Kehadiran mereka agak mengejutkan semua pihak juga, termasuk masyarakat umum dengan pembawakan metal kental bersama penampilan dua orang gitaris mereka, iaitu King Shah dan Ritz, sehingga kumpulan ini telah ditampilkan diatas pentas AIM pada suatu ketika. Disebabkan kelompok mereka jugalah, akhirnya kebuntuan pencalonan di AIM telah berjaya dipecahkan apabila pencalonan bagi kategori Album Hard Rock Terbaik mula diperkenalkan. Terlalu rapat juga sebenarnya signifikan yang wujud pada ketika itu. Kelahiran dua buah album mereka, (“Khalifah Alam Maya” (1999) dan “Silantra: Bermulanya Sebuah Epik” (2002) adalah penanda aras untuk menunjukkan kemampuan pemuzik-pemuzik kita terhadap penerbitan album-album yang berkonsepkan progressive metal sepertimana yang biasa dilakukan oleh pemuzik-pemuzik dari luar, dan sekurang-kurangnya pernah mengisi database album-album shred yang dirilis dalam tempoh sedekad lalu dalam negara kita.

Setelah beberapa ketika mereka dijulang, perlahan-lahan nama Metalasia pun mula pudar dari arena mainstream, disebabkan oleh peredaran struktur industri muzik. Bukan sahaja di Malaysia, bahkan seluruh dunia yang semakin berubah kerana peredaran zaman yang semakin menuntut pelbagai perkara untuk memenuhi keperluan muzik itu sendiri. Sememangnya persaingan pada hari ini teramatlah mencabar. Namun, tidak pula bagi Ritz(Rizal bin Abdul Halim, 36) yang kini sedang bergiat aktif sebagai pemuzik latar bagi khidmat profesional untuk mana-mana persembahan rancangan program di televisyen serta komersil sekalipun. Permulaannya sebagai seorang ‘Mat Metal’ yang kini beralih kepada sesuatu yang lebih profesional adalah sesuatu yang amat jarang sekali berlaku dikalangan pemuzik kita. Satu pencapaian yang seharusnya dilihat sebagai pencetus/pendorong semangat bagi sesiapa sahaja yang mahu berjaya walaupun bermula sebagai pemuzik metal yang yang berbaju hitam bersama tulisan berduri, dan yang lebih mendukacitakan apabila mereka ini dianggap tidak mempunyai kemampuan langsung untuk menyampaikan muzik pop! Ini juga adalah bukti bahawa ‘Mat Metal‘ bukanlah perosak muzik seperti yang selalu difikirkan oleh sesiapa sahaja. Ritz telah mengubah persepsi golongan tertentu walaupun tidaklah secara besar-besaran, bahawa pemuzik metal tetap mempunyai jiwa yang mampu berbicara tentang melodi indah untuk dibawa bersama bagi pendengar umum.

DSC_7405

Abg. Rom : Perkembangan terbaru?
Ritz : Metalasia dah tak aktif buat beberapa ketika, jadi saya bergerak solo sebagai pemuzik latar. Saya bermula dengan Ramli MS.  Genevie yang membawa saya kearah situ sebenarnya. Sebab dia pun pernah juga menjadi pemuzik undangan dalam Metalasia. Dia yang suruh saya belajar membaca notasi muzik, tapi sampai hari ini masih lagi belum lancar, bolehlah sikit-sikit. Hahahaha! Tugasan pertama saya dengan Genevie adalah Anugerah Juara Lagu yang keberapa entah, saya pun dah lupa. Tapi, sewaktu Mawi sedang meletuplah. Selain pemuzik undangan, saya selalu juga ambil tugasan untuk kerja-kerja rakaman album studio, selalunya dengan Mus (MAY) punya produk. Sekarang ini pun pada kebiasaannya saya selalu menjadi pemuzik latar dengan Music Director(MD) seperti Genevie, Ramli MS, Aubrey SuwitoZiwanAi Lok YeuAcis, dan lain-lain lagi.

Abg. Rom : Ceritakan sedikit latarbelakang anda sebagai seorang pemain gitar? Memandangkan anda daripada sebuah kumpulan metal, anda dikira sebagai seorang yang berjaya jugalah, dan saya berpendapat perjalanannya bukanlah begitu mudah?
Ritz : Memang, betul soalan itu. Bila orang dah pandang kita ni metal, mesti orang akan takut nak ambil kita sebagai pemuzik latar. Takut nanti jahanam muzik mereka. Saya pernah kena. Ada seorang artis ini, nama besar jugalah. Bila dia dengar nama saya, terus dia tak nak. Fuh! Terasa hina jugalah. Tapi tak apa, dia belum cuba lagi. Tapi akhirnya dah jodoh, jumpa juga dia dekat tempat lain, dan terpaksalah juga terima saya. Selepas itu dia terus suka. Itulah, belum cuba belum tahu, kan. Metal..metal-lah kan, takkanlah saya nak bawa muzik metal ke pop pula.

Abg. Rom : Betul, tetapi ada benarnya dia bersikap begitu. Mungkin dia pernah mempunyai pengalaman sebegitu bersama pemuzik metal.
Ritz : Betul tu abang, tambah-tambah lagi kalau “shredder”. Pantang ada ruang kosong, confirm dia lipat punya! Itu pengalamanlah, dulu-dulu masa zaman muda memanglah kan. Sekarang ini dah tua, permainan pun dah berubah, ianya lebih kepada soul dan feel.

Abg. Rom : Perbezaan diantara bermain dengan band sendiri dan sebagai pemuzik undangan?
Ritz : Pemuzik undangan ini ibarat seperti pelakonlah. Kita kena buat apa yang mereka mahu, janganlah kita buat ikut suka hati kita. Kalau mereka minta kita tambah itu ini, jadi kita tambahlah. Semasa saya bermula sebagai pemuzik latar, saya selalu rasa saya betul pada mulanya, tapi lama-kelamaan saya baru sedar tempo saya memang tak betul. Kita sebenarnya tak nampak. Kadang-kadang sound pun mereka ada tegur juga. MD dah tahu lagu apa semua, sebab dia yang buat penyusunan, jadi kita kena ikutlah. Jangan pandai-pandai.

Abg. Rom : Pernah menghadapi masalah dengan mana-mana MD tak sebelum ini?
Ritz : Masa mula-mula masuk bidang ini, memang saya menghadapi masalah dengan semua MD, sebab tak ada pengalaman. Masalah yang paling utamanya ialah tempo, dan sound. Sound adalah perkara yang paling dititikberatkanlah oleh kebanyakan MD. Sebabnya, saya sudah biasa main metal. Jadi, apabila hendak pergi kepada sound yang bluesy dan pop, saya rasa agak lain sedikit. Tapi, saya belajar dari situlah. Pada mulanya saya rasa apa yang saya buat itu adalah yang paling lembut, tapi sebenarnya tidak.

Abg. Rom : Apa lagi yang anda pelajari sepanjang bekerja sebagai pemuzik latar ini? Sebabnya, pekerjaan sebegini adalah tentang melayan karenah orang sebenarnya.
Ritz : Saya belajar tentang penyampaian bunyi itu dengan lebih mendalam lagilah, penjiwaan sesebuah lagu itu. Sebabnya, penyampaian lebih keras jika kita tumpukan kepada pembacaan notasi sahaja. Tentang vibrato untuk lagu pop, bending atau apa sahaja yang berkaitan. Saya tak ada masalah itu. Sebab permulaan saya bukan dengan notasi.

Abg. Rom : Ada tak mana-mana MD yang mempunyai kesulitan ketika berlatih?
Ritz : Biasanya kalau MD perempuanlah, mana-mana sekalipun. Biasanya detail mereka lain macam. Mereka mahukan saya mempunyai kemahiran sight-reading dengan segera. Itulah masalahnya. Kadang-kadang, saya pun fikir, kalau betul nak mengharapkan sight-reading, apa gunanya rehearsal, kan? Kalau semua dah betul-betul mahir sight-reading, tak perlu berlatihlah, lebih baik terus lakukan persembahan.Benda itu ada rasional juga. Bagi lagu itu betul-betul masuk kedalam hati dahulu, baru ada feel.

Abg. Rom : Tapi, semasa anda bermain live, MD pun takkan mengharapkan anda untuk bergantung semata-mata terhadap notasi sahaja, kan?
Ritz : Betul. Dia pun tak suka orang baca sangat.Tak ada feel.

.

 

Abg. Rom : Betullah! Notasi itu hanya sekadar panduan muzik kita sahaja. Profesional macam mana sekali pun, ianya kena juga ada feel. Jadi, 10 tahun anda sudah terlibat didalam dunia pemuzik latar walaupun bermula dengan muzik metal. Sesuatu yang amat menarik juga sebenarnya. Ceritakan sedikit bagaimana pembentukan permainan gitar anda terjadi semenjak dari awal.

Saya bermula dengan kenduri kahwin sebenarnya. Saya tak minat sangat muzik ni. Semasa kecil dahulu, tiba-tiba ternampak sebuah gitar didalam rumah, abang saya bawa balik dari mana entah. Saya pun tak tahu gitar itu apa. Saya main terbalik masa itu, letak atas riba. Selepas itu abang saya pun tegur,…

Ritz : Saya bermula dengan kenduri kahwin sebenarnya. Saya tak minat sangat muzik ni. Semasa kecil dahulu, tiba-tiba ternampak sebuah gitar didalam rumah, abang saya bawa balik dari mana entah. Saya pun tak tahu gitar itu apa. Saya main terbalik masa itu, letak atas riba. Selepas itu abang saya pun tegur, “Kenapa main gitar macam itu?”. Jadi, dia pun tunjukkan pada saya cara yang betul. Bila dah tahu, saya pun pergilah kedai mamak beli buku kord lagu. Kebetulan pula pak cik saya adalah seorang gitaris kenduri kahwin. Bila dia datang ke rumah saya, dia nampak gitar..dia pun usik usik la…. Jadi, saya pun tengoklah cara dia main. Saya tak tanya pun cara nak main macam mana. Saya tak pernah tanya dia. Selepas dia balik sahaja, saya terus berlatih. Selepas beberapa ketika, dia datang semula kerumah saya dan terus terkejut bila tiba-tiba tengok saya main gitar. Dia pun tanya, “Eh, bila masa kau belajar main gitar?” Saya cakaplah saya belajar sendiri. Dan kebetulan ada satu lagu itu, saya cari solo lagunya. Sekali pak cik saya pula yang minta saya ajarkan. Saya tahu solo saja masa itu, tak tahu langsung pasal kord. Saya cakap saya main cari guna telinga saja. Tambahan pula, saya mana ada beli kaset seumur hidup saya. Main dengar saja lagu dekat mana-mana pun. Lepas itu, barulah kawan saya beli video lesson Yngwie Malmsteen, saya pun pinjamlah untuk belajar. Saya tengok dia main, mak aihh.. apa dia main ni? Saya mula pegang gitar pun semenjak umur 10 tahun. Masa umur saya 13 barulah saya banyak menonton video Paul Gilbert apa semua, zaman dia dengan gitar pink bersama dengan ADA rack apa semua! Tak tahu tahun bila tu

Abg. Rom : Awal 90’an lah tu. 1991 rasanya. Selepas itu?
Ritz : Saya belajar perlahan-lahan. Saya tak pernah ada kumpulan . Jadi, ada kawan-kawan saya datang kerumah ajak saya main untuk kenduri kahwin, ikut Pak Su saya. Saya tak ada kumpulan projek atau buat album apa ke. Sehinggalah saya bertemu dengan Sam Maya dan Dol. Mereka cakap nak cuba cari seorang gitaris. Saya masa itu ada “gitar tong” saja, tak pernah ada gitar letrik pun. Kalau ada pun masa kenduri kahwin sajalah. Masa itu pakai gitar Fender original, Gibson SG apa lagi entah. Tapi saya tak kenal pun. Bawa balik kerumah untuk berlatih pun saya merungut, “Apa benda gitar buruk ni?”. Jadi, saya pun pergilah ujibakat. Saya sewa dekat studio jamming, gitar dengan Boss DS-1, pergilah audition Metalasia. Sebenarnya, Metalasia ni mula dengan Sam dulu. Wan dan Shah tak masuk lagi. Penyanyi pula Jeff, tapi dia sekejap sahaja. Kebetulan pula Tri-Castle sedang mencari artis metal. Lagu dah ada tujoh. Selepas itu barulah pergi ke Tri-Castle studio dan Shah pun baru masuk. Masa itu dia cadangkan untuk membuat rombakan terhadap kesemua lagu-lagu yang ada. Maknanya rekod barulah. Selepas itu barulah CD Khanzab pula masuk diposisi gitar/vokal. Bass pula Wan Brakar dari Sabah. Ketika itu umur saya masih lagi 18 tahun kot. Masa itu lagu kami hanya satu gitar saja, senang cakap kumpulan kami ini macam XPDC punya konseplah kiranya. Kebanyakannya lagu Dol yang buat, saya main sahaja.

Abg. Rom : Bila anda punya gitar pertama?
Ritz : Gitar pertama saya 7-string itulah, semasa saya mula dengan Metalasia dahulu. (semua : ketawa)

Abg. Rom : Semasa Genevie menyuruh anda belajar notasi dahulu, bagaimana anda memulakan sesi pembelajaran?
Ritz : Saya belajar dengan emak Genevie. Saya belajar block chord dahulu. Block chord dan tablature apa benda pun saya tak tahu langsung!

Abg. Rom : Hmm, maknanya selama itu anda main hafal sahajalah.
Ritz : Ya.

Abg. Rom : Habis, anda punya scale pula ambil dari mana?
Ritz : Daripada video lesson yang saya tontonlah.

Abg. Rom : Semasa buat lagu dengan Shah pula?
Ritz : Lagu Shah yang buat semuanya, dan saya pula letakkan harmoni sahaja.

Abg. Rom : Jadi, dalam banyak pemuzik-pemuzik dalam dunia ini, siapakah yang menjadi rujukan anda, yang anda betul-betul tahu?
Ritz : Banyak juga. Tapi, kalau nak kata Malmsteen, 1 album pun saya tak pernah dengar. Saya belajar sikit sahaja daripada lagu dia. Sebab dalam Malaysia ni banyak sangat yang nak jadi Malmsteen. Saya tak mahu terpengaruh sangatlah. Malmsteen masih hidup, tunggulah dia mati. Waktu itu barulah boleh buat. Sebab itulah. Tapi, masa mula-mula dahulu Steve Vai dan Paul Gilbert lah. Dia orang ini dulu pun dah moden. Macam Malmsteen ol-skool sangat, semuanya sama saja bentuk solonya. Beza pada permainan kord sahaja.

Bila live telecast, gemuruhnya lain macam. Sebab penonton nak dengar apa yang kita main. Padahal nak main benda senang saja.

 

Baca seterusnya dalam ROTTW 191

 

TEKS : MALIK  TEMUBUAL:  ABG ROM  FOTO :  JUNIOR

menjadi cover isu pertama majalah Guitar & Bass ..bersama Shah pada tahun 2002.

error: Content is protected !!