FARASU DAN JELAJAH MUZIK NUSANTARA
Ini adalah Siri Jelajah Farasu 7 Sumpahan, 7 Benua, 7 Lautan walaupun album terakhir ‘Majestica’ telah dikeluarkan pada tahun 2023.Farasu kini giat merakamkan material terbaru berjudul ‘Nusachestra’ yang menurut Nahak (gitaris) jelajah ini sebagai memperkenalkan perkembangan muzik mereka dan menyambut ulangtahun Farasu yang ke 23 tahun. Pada 27 Disember 2025 lepas di BE KL, Siri Jelajah ini telahpun bermula.
Akhirot bertindak emcee pada malam itu memperkenalkan Slythera membuka pentas dengan sebuah lagu cover dari Metallica “For Whom The Bell Tolls” dengan penuh bertenaga. Melabelkan muzik mereka sebagai Alternative metal dengan memperkenalkan lagunya seperti “Egoblind, “Fallen“, dan “War” disampaikan dengan begitu baik sekali oleh Han Ersalle (vokalis/gitar). Terasa begitu awal set mereka berakhir..

Pentas diambil alih pula oleh Ruh Arasy yang membuatkan aku begitu tertarik menyaksikannya. Kepelbagaian muziknya dengan imej kegelapan yang hampir menutup seluruh wajahnya seolah ingin membawa kita meneroka dengan lebih mendalam apa yang ingin disampaikan. Mempertaruhkan beberapa lagunya seperti “19”, “Murka”, dan “Sihir” dengan penuh kelam dan suram! Aarrghh..terbaik!

Exhuman pula bersiap sedia dengan melodic death metal membuka tirai dengan lagu “Prologue“, “Eyes and Bones“, “Dead in Flesh“, dan “World of Sovereign” antaranya. Menampilkan pula 2 vokalis dan 2 bassist yang bertukar ganti bermain dan aksi permainan gitaris Feisal Kassim dan Khalis Rozmi yang begitu memukau walaupun gitar agak kurang kedengaran pada awal persembahannya namun aksi vokalis mereka yang ligat telah berjaya menarik crowd untuk bersama ke akhirnya.

Band terakhir Farasu mengambil sedikit masa pada permulaan set mereka kerana mengalami masalah teknikal pada set dram. Muzik Nobat kedengaran petanda mereka telah bersiap sedia! Lagu “Rentakas Blast”, “Mendam Berahi”, dan “Against Tyranny” berkumandang tanpa henti.. Pertama kali melihat aksi Hazmeer bergandingan gitar dengan Nahak bersama. Farasu terus membawa lagu lama mereka seperti “Keris Songsang” dan “Tangisan Malam” dengan nafas baru. Shah (vokalis) sempat mempromosikan mini album mereka yang bakal diriliskan pada tahun 2026 ini dan menutup persembahan dengan lagu “The Jinn” dan Outro “Geylang Si Paku Geylang”.

Maka berakhirlah jelajah malam itu..walaupun kehadiran crowd yang sederhana namun kesemua band yang beraksi sungguh hebat sekali. Farasu akan meneruskan jelajah muzik mereka bermula di selatan pula pada pembukaan tahun 2026 ini di Aka Rockin Hall, JB pada 17 Januari 2026 ini. Nantikan perkembangan seterusnya lokasi jelajah yang akan dirangka oleh Farasu. Jumpa lagi dan terima kasih Nusantara!
TEKS : ALEY
FOTO : ALEY
