SIDANG MEDIA
Search, Wings & XPDC disatukan buat julung kalinya dalam ‘Konsert 3 Veto’
KUALA LUMPUR, 13 Mei 2026
Selepas sekian lama dinantikan, peminat muzik rock tanah air bakal disajikan dengan sebuah konsert istimewa apabila kumpulan Search, Wings & XPDC digandingkan buat pertama kalinya dalam Konsert 3 Veto.
Berlangsung di Megastar Arena, Bukit Bintang pada 1 Ogos, konsert anjuran Bintang Batu Event & Seri Simfoni Sdn Bhd ini mengangkat semangat seni muzik rock sebagai tanda penghargaan buat para peminat yang setia menyokong perjalanan seni tiga kumpulan legenda yang telah mewarnai industri muzik tanah air lebih empat dekad.
Konsert ini menjadi simbol legasi muzik rock yang tidak pernah padam dan yang sentiasa mencetus fenomena besar sejak sekitar era 80 & 90-an. Ia juga menandakan muzik 3 kumpulan rock legenda tanah air ini sentiasa mekar dihati peminat dan kekal releven sehingga ke hari ini.
Menurut penganjur, Ikhram Zainuddin, atau dikenali sebagai Atom, konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi sebuah pengalaman manis yang semestinya akan dirasai oleh semua peminat yang menghadiri konsert ini kerana gabungan tiga kumpulan ini pasni nya akan memuaskan halwa telinga dan ia mungkin sukar diperoleh lagi pada masa akan datang.
Penonton bakal dihidangkan dengan susunan semula lagu-lagu popular seperti Sejati, Isabela, Titian Perjalanan dan banyak lagi yang diberi nafas baharu agar lebih segar tanpa menghilangkan keaslian karya asal dan dinyanyikan oleh tiga kumpulan ini secara serentak.
Selain itu, penggunaan teknologi audio ,visual & pencahayaan seperti projection mapping dijangka menjadi antara tarikan utama, sekali gus memberikan dimensi baharu kepada persembahan pentas.
“Konsert ini adalah tentang jiwa seni kami, menyatukan hati kami melalui muzik rock, dan berkongsi rasa dan emosi kami, dengan semua yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan kami,” jelas Dato’ Awie.












