
Acara : Showcase Jiwa Kacau 2024
Lokasi : Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil
Tarikh : 22 Jun 2024
Showcase Jiwa Kacau merupakan salah satu event terbesar dan mempunyai ramai peminat yang berasal bukan sahaja daripada Malaysia, tetapi juga negara-negara jiran kita seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.
Showcase Jiwa Kacau 2024 pada kali ini kembali membawa lebih ramai bintang popular berbanding tahun lepas (Showcase JK2023) . Band-band terkemuka tanah air seperti Masdo, Insomniacks, Hujan, Bunkface dan juga band dari Indonesia iaitu Nidji telah membuat penampilan yang gempak pada hari Sabtu lepas. Penyanyi dan “pempengaruh” terkenal yang diminati anak muda iaitu Luqman Podolski juga tampil menarik perhatian para pengunjung dengan persembahan pembukaan pada malam tersebut.
Selepas itu, diikuti dengan Masdo. Pada awalnya, crowd control daripada vokalis Masdo, Ali Sariah sememangnya tiada tandingan pada malam itu. “Semua cangkung!” Memang hype teruk! Masdo juga mempersembahkan lagu baharu mereka yang bertajuk “Perih Jerih”. Moshing yang pertama pada malam itu telah berlaku dalam persembahan Masdo.
Acara diteruskan dengan persembahan kumpulan anak muda yang dinanti-nantikan oleh golongan wanita iaitu Insomniacks! Sememangnya mereka layak untuk sepentas dengan nama nama besar lain di acara kali ini. Persembahan mereka tight. Selepas itu, giliran Nidji pula beraksi, bersama vokalis baharu mereka iaitu Ubay. Memang amat dinanti ramai kerana vokalnya yang mantap. Harap-harap mereka kembali ke Malaysia lagi.
Malam itu diteruskan dengan Hujan, kumpulan paling OG (bagi gelombang kedua indie, pada hemat penulis) di tanah air kita dan memang ditunggu-tunggu oleh semua pengunjung. Persembahan dan sembang santai ‘ala Noh’ sememangnya amat menyenangkan. Terasa intimasi antara Hujan dan Raingers seperti di konsert konsert sebelum ini juga. Terbaik! Persembahan terakhir diberikan kepada Bunkface, band yang paling meletop kalau ada dalam event sebegini. Mereka juga membawa lagu baharu mereka iaitu “Hilang” dan mengakhiri acara malam itu dengan lagu “Darah Muda”.
Dengan himpunan bintang-bintang terkemuka ini, Showcase Jiwa Kacau 2024 telah dijayakan dengan penuh cemerlang. Malah, cabutan bertuah juga diadakan pada setiap masa rehat antara persembahan. Antara hadiah-hadiah tersebut adalah iPhone 13, Playstation 5 dan juga sebuah motosikal. Event tersebut juga telah dianugerahkan pengiktirafan Malaysia Book of Records apabila JK2024 dihadiri lebih dari 15,000 orang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
“Jadi nama nama anda patut tercatat dalam buku Sejarah sekolah,” seloroh Radin ERA yang menggalas tugas sebagai emcee pada malam itu.
Pencahayaan berada di tahap terbaik bagi penulis, sistem bunyi juga tidak menghampakan. Jutaan tahniah kepada MND Sport & Event untuk anjuran kali ini. Juga sekalung tahniah buat semua penganjur bersama yang telah menjadikan acara ini sebuah realiti malah mencipta rekod bersejarah pula.
Secara konklusinya, Showcase Jiwa Kacau 2024 sememangnya tidak menghampakan dan memberikan “good vibes” kepada semua orang pada malam itu. Steady lah Jiwa Kacau.
Harap terus berkesinambungan dan jumpa lagi!
Teks : Aqif Mukhriz
Penyunting : Tommy Love
Foto : Arfa, Zainal, MND Sport & Event










































