SIARAN MEDIA
CROMOK & BARBARIK BAKAL GEGAR KONSERT BLACK ON WHITE
KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2026
Selepas sekian lama dinantikan peminat muzik rock
dan metal tempatan, dua nama besar, Cromok dan Barbarik bakal berkongsi pentas
menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik pada 27 Jun ini di IdeaLive, 3 Damansara, Petaling Jaya.
Gabungan dua kumpulan berpengaruh ini dijangka mencipta fenomena tersendiri
apabila masing-masing membawa identiti, tenaga dan legasi yang sudah sebati dalam
jiwa peminat muzik rock tanah air.

Konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu bukan sekadar
persembahan biasa, sebaliknya menjadi medan pertemuan dua generasi dan dua muzik
yang berbeza, namun berkongsi satu semangat sama.
Lebih menarik, peminat bakal disajikan dengan kolaborasi eksklusif membabitkan
Cromok dan barbarik, selain berpeluang menyaksikan single terbaru Cromok yang buat
pertama kalinya akan dipersembahkan secara langsung, Barbarik juga akan
mempersembahkan single terbaru mereka pada malam itu.
Gitaris Barbarik, Jo berkata, konsert itu memberi makna besar bukan sahaja kepada
kumpulan terbabit, tetapi juga “follower-follower”.
“Ini bukan sekadar konsert biasa. Konsert ini menjadi pertemuan dua legasi yang sudah
lama beraksi dalam liga masing-masing. Bila digabungkan, impaknya pasti berbeza.
“Kami mahu beri pengalaman yang luar biasa buat peminat agar konsert ini menjadi
pengalaman yang tidak akan dilupakan,” katanya.
Tambah Jo, peluang berkongsi pentas dengan Cromok juga membuka ruang untuk
sesuatu yang lebih segar.
“Peminat akan nampak sisi berbeza daripada kami, termasuk kolaborasi yang mungkin
mereka tidak pernah bayangkan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Karl Cromok menyifatkan konsert berkenaan sebagai satu evolusi dalam
persembahan muzik tempatan, terutama dari segi penggunaan teknologi.
“Kami tampil dengan konsep digital sepenuhnya menerusi pendekatan No Noise Digital
Stage, menjadikan kami satu-satunya kumpulan di Malaysia yang mempersembahkan
persembahan secara 100 peratus digital.
“Tiada penggunaan dram akustik mahupun amplifier gitar di atas pentas, hanya satu
mikrofon, peranti digital dan sistem in-ear monitors digunakan.
“Penggunaan teknologi digital ini membolehkan pemantauan audio yang lebih jelas,
sekali gus meningkatkan kualiti persembahan, menghasilkan bunyi yang lebih bersih
dan memberikan pengalaman yang jauh lebih baik kepada para penonton,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, konsert berkenaan juga menjadi platform untuk
mengenengahkan inovasi serta sokongan terhadap jenama dan teknologi tempatan
dalam industri muzik.
Konsert ini menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT
1, diikuti RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi
pakej VIP (CAT 6).
Tiket boleh didapati menerusi dua laman web iaitu MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2
dan CAT 6, manakala Fantopia pula menawarkan tiket bagi kategori CAT 3, CAT 4 dan
CAT 5.
Konsert Black On White Cromok-Barbarik disokong oleh Kementerian Komunikasi
melalui MyCreative Ventures

