ULASAN
METALVERSE FESTIVAL 2026
: ANTARA VIBE INTIMATE, NOSTALGIA EMO, DAN TRAGEDI TEKNIKAL
Dua hari di JioSpace, Petaling Jaya untuk Metalverse Festival 2026 meninggalkan seribu satu rasa. Dari segi konsep, penganjur berjaya mewujudkan elemen “intimate show” yang sangat padu. Pentas yang dekat dan ruang yang tidak terlalu luas membuatkan peminat rasa sangat dekat dengan artis, seolah-olah menonton gig eksklusif walaupun skalanya adalah festival antarabangsa. Selama dua hari itu 16 buah kumpulan muzik membuat persembahan.
HARI PERTAMA (30 APRIL)PERGELUTAN AUDIO DAN PENANTIAN AGAK PANJANG
Hari pertama dimulakan dengan sedikit cabaran. Memandangkan ia jatuh pada hari bekerja, maka berlaku sedikit kelewatan. Walaupun perjalanan show nampak lancar, rasanya penganjur terpaksa memotong waktu persembahan beberapa band awal untuk mengejar masa.
Masaalah utama pada hari ini ialah kualiti sound. Bunyi yang keluar daripada sistem siaraya agak memuaskan di beberapa sudut tetapi kebanyakannya “pecah” dan menyakitkan telinga. Selang masa antara band juga terlalu panjang (hampir 15-20 minit) hanya untuk soundcheck di atas pentas. Ini membuatkan crowd menunggu agak lama dan memotong momentum festival.
Acara bermula dengan Spooky Wet Dreams Walaupun beraksi di depan kelompok yang kecil, kerana menjadi pembukaan untuk Metalverse, mereka tetap membawakan tenaga quirky dan eksentrik yang menjadi identiti mereka.

No Time For Silence mengambil alih pentas. Band yang paling muda dalam Metalverse. Jangan pandang sebelah mata. No Time For Silence membawa tenaga yang sangat mentah dan agresif. Salah satu highlight ialah lagu yang menampilkan kolaborasi bersama line-up SOG.

Patriots..ya..satu persembahan yang padu, namun sekali lagi isu sound system menghalang mereka daripada memberikan impak maksima. Sama seperti band lokal lain pada hari itu, Patriots menjadi mangsa kepada kualiti sound system yang kurang memuaskan. Bunyi pecah daripada pembesar suara menjadikan lapisan synth dan gitar mereka kadang-kadang kedengaran serabut. Masalah paling utama ialah vokal yang tenggelam-timbul. Ada ketikanya melodi vokal yang sepatutnya menjadi kekuatan lagu mereka hilang di sebalik bunyi dram dan bass yang terlalu dominan (pecah). Ini sedikit sebanyak mengurangkan impak emosional yang sepatutnya dirasai oleh audiens.

Seperti biasa..Massacre Conspiracy tidak pernah gagal dari segi tenaga. Sebaik sahaja mereka naik ke pentas, suasana terus berubah menjadi “medan perang”. Mosh pit mula terbentuk dengan aktif, dan Ash (vokalis) berjaya mengawal crowd dengan karisma yang cukup kuat. Persembahan mereka sangat tight, membuktikan kematangan mereka dalam menguasai pentas festival besar. Malangnya, persembahan hebat mereka sedikit tercalar disebabkan isu sound system yang sangat bermasalah. Bunyi instrumen kedengaran agak “muddy” dan pecah, menyebabkan beberapa bahagian teknikal gitar dan dram tidak kedengaran sebersih yang sepatutnya. Masalah paling ketara adalah pada bahagian vokal yang tenggelam-timbul. Ada ketikanya suara Ash hilang di sebalik bingit bunyi gitar, membuatkan impak lagu-lagu hits mereka tidak sampai 100% kepada peminat di bahagian belakang. Kali ini Godoy juga berganding dengan mereka. Lama tak tengok Godoy beraksi dengan MC16. Diharapkan adalah lagi projek bersama ya!

OAG muncul sebagai Special Guest seterusnya. Radhi berjaya menghidupkan suasana nostalgia dengan lagu lagu yang memang sudah dihafal hampir semua orang yang hadir. Radhi OAG tetap kekal dengan identitinya sebagai showman yang penuh dengan antics tersendiri. Dalam konsep intimate show Metalverse, aura Radhi sangat terasa. Beliau berjaya membuatkan penonton yang mungkin asalnya datang untuk mosh pit, berubah menjadi sing-along beramai-ramai. Vibe persembahan mereka sangat santai tetapi penuh tenaga, membuktikan lagu-lagu mereka adalah timeless. Walaupun mereka memberikan persembahan yang menghiburkan, OAG juga tidak terlepas daripada masalah sound system yang kurang memuaskan. Terdapat beberapa ketika di mana bunyi gitar dan vokal kedengaran sedikit pecah di bahagian speaker depan, namun disebabkan lagu-lagu OAG sudah sedia tertanam dalam kepala peminat, masalah teknikal itu berjaya ditutup oleh suara sing-along crowd yang sangat kuat.

Bermula selepas Maghrib, sound sudah mula membaik dan crowd mula padat. Senses Fail adalah salah satu sebab kenapa orang daripada sebelah Borneo sanggup terbang ke Kuala Lumpur untuk acara ini.. Tenaga Buddy Nielsen sangat luar biasa. Tenaga dia masih terasa dan jujur sampai sekarang saya susah move on dengan “performance” mereka. Padu beb!

The Red Jumpsuit Apparatus yang dinanti.. seterusnya. Sebagai salah satu nama besar dalam gelombang emo pertengahan 2000an, kehadiran mereka di JioSpace berjaya menarik kelompok peminat yang ingin mengimbau zaman remaja. Apa yang menarik kali ini ialah penampilan Nadeem di posisi keyboard. Kehadiran elemen keyboard secara langsung (live) memberikan tekstur yang lebih tebal dan atmosferik kepada lagu-lagu hits mereka, menjadikan setiap susunan muzik kedengaran lebih “megah” dalam ruang JioSpace yang intimate. Momen kemuncak nostalgia. Satu dewan menyanyi “Face Down” sekuat hati. Vibe intimate sangat terasa di sini. Apatah lagi saya dapat berdiri ditengah tengah dan paling hadapan. Puas hati!

Of Mice & Men merupakan salah satu band yang setiap kali saya tanya, “Korang datang nak tengok siapa?” Anak-anak muda kebanyakkan akan jawab dengan berseloroh “Of Mice & Men!!” Dan memang terbukti kenapa nama mereka paling banyak dijawab oleh anak-anak muda yang jarang kita nampak di gig-gig lain.. Penutup yang sangat agresif. Breakdowns yang berat berjaya menutup kelemahan sound hari pertama dengan energi yang meluap-luap.


Saya sempat mendapat pandangan kawan kawan pemuzik yang ada pada malam itu..
“Senses Fail, perform semua cun tapi sound agak bingit time awal..
dah nak hujung set baru balance..
The Red Jumpsuit Appararus, sound balance, bunyi dram clear compared to Senses Fail ..
set yang enjoyable especially vokalis dia sporting..
Of Mice And Men, headliner day one memang superb..sound dram & bass padu..gitar pun cun..
crowd pun enjoy circle pit yang beso..”
… Min Drummer Naratu.
HARI KEDUA (1 MEI)
PENEBUSAN DAN TRAGEDI A SKYLIT DRIVE
Masuk hari kedua, kualiti sound nampak ada peningkatan dan lebih “clean” berbanding hari pertama. Namun, tumpuan hari kedua terarah kepada satu insiden teknikal yang sangat mendukacitakan.
Rina-Hime membuka pentas. Crowd yang hadir awal pada hari kedua nampaknya sangat “enjoy” dengan persembahan mereka. Keunikan genre yang dibawa berjaya membuatkan ramai penonton yang asalnya sedang duduk santai mula mendekati pentas untuk melihat kecekapan teknikal ahli band ini. Ia adalah pembukaan yang sangat “solid” untuk menaikkan mood hari kedua.

Jemson, Rock n’ Roll yang santai tapi padu, berjaya memanaskan badan crowd yang baru sampai. Satu perkara yang paling menonjol tentang Jemson ialah stage presence mereka. Myo dan rakan-rakan tahu cara nak “beli” crowd. Walaupun waktu itu masih awal, mereka berjaya membuatkan penonton yang sedang santai mula bangun dan bergerak. Muzik mereka yang riff-heavy tetapi melodi yang senang diikut (sing-along) sangat sesuai dengan konsep intimate show Metalverse. Kalian boleh rasa keakraban antara band dan peminat bila Myo mula berinteraksi dengan penonton.

Sekumpulan Orang Gila(SOG), persembahan paling juara untuk kategori lokal. Sangat profesional dan muzikaliti mereka memang kelas dunia. Tak hairanlah mereka juga diterbangkan ke Hammersonic esoknya bersama band band internasional yang lain.

Midnight Fusic memberi ruang untuk crowd “bernafas” dengan vibe yang lebih chill sebelum masuk ke set berat. Kehadiran Midnight Fusic dalam barisan pemain (line-up) Metalverse mungkin kelihatan sedikit berbeza kerana genre mereka yang lebih ke arah indie alternative berbanding band-band metalcore yang lain. Namun, di sinilah letaknya kebijaksanaan penyusunan slot, di mana mereka bertindak sebagai “penenang” sebelum keadaan kembali menjadi agresif.

Seperti biasa, Bunkface jarang tak padu walaupun dengan gaya santai Sam atas pentas memang sentiasa menghiburkan peminat peminat Bunkface dengan anthem mereka, Malam Ini Kita Punya!..Memang padulah mereka…sentiasa padu!

Lastelle naik ke pentas ketika crowd di JioSpace sudah mula “panas” dan bersedia untuk barisan band antarabangsa. Kehadiran mereka membawa penuh tenaga yang meledak. Band dari UK ini membuktikan kualiti mereka dengan persembahan yang sangat kemas dan berat sekaligus menjadi alasan utama saya untuk masuk moshpit setelah sekian lama. Walaupun mungkin ada segelintir penonton yang baru pertama kali mendengar lagu mereka, Lastelle berjaya memenangi hati crowd.

A Skylit Drive yang malang..Di sinilah tragedi berlaku. Masalah teknikal yang kritikal telah melumpuhkan show mereka. Show terpaksa stuck dan berhenti selama hampir 30 minit untuk pembaikan. Keadaan ini sangat menghampakan crowd yang sudah sedia untuk headbang. Malah, Abang Rom (ROTTW) yang turut hadir menyaksikan show ini menyatakan rasa kecewa beliau terhadap kegagalan teknikal yang memakan masa terlalu lama sehingga merosakkan momentum band yang sedang beraksi. Mereka berjanji untuk kembali dan menebus semua kekecewaan peminat mereka di masa akan datang.

Blessthefall, kembali setelah 14 tahun berlalu. Sekali lagi sebagai headliner penutup, Beau Bokan dan rakan-rakan memberikan segalanya. Performance yang sangat bertenaga dan berjaya mengubat hati peminat yang kecewa dengan masalah teknikal sebelum itu dan membuat crowd belum puas kerana set mereka agak singkat kerana kekangan masa. Satu lagi momen yang benar-benar mencuri tumpuan pada malam penutup hari kedua ialah sambutan hari lahir pemain gitar Blessthefall, Elliott Gruenberg. Di tengah-tengah kehangatan set mereka, seluruh dewan JioSpace tiba-tiba bergema dengan nyanyian lagu “Happy Birthday” yang dipimpin oleh Beau Bokan dan disertai oleh semua yang hadir.

Metalverse 2026 adalah Festival dengan potensi besar terutama dari segi pemilihan band dan konsep intimate show. Namun, isu teknikal terutama sound pada hari pertama dan kegagalan sistem semasa set A Skylit Drive perlu dijadikan pengajaran besar. Penghargaan harus diberikan kepada semua band yang tetap profesional walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan teknikal.
Oleh: Tracy


