SIARAN MEDIA
INDUSTRI MUZIK BERUBAH: CROMOK PILIH DIGITAL SEPENUHNYA
KUALALUMPUR
Industri muzik kini sedang melalui perubahan ketara apabila semakin ramai artis antarabangsa beralih kepada penggunaan teknologi digital dalam persembahan dan produksi. Daripada sistem in-ear monitor (IEM) hinggalah penggunaan peralatan tanpa amplifier, pendekatan ini semakin menjadi norma baharu dalam industri global. Bagi kumpulan legenda metal tanah air, Cromok, perubahan ini bukan sekadar trend, tetapi satu evolusi yang perlu diadaptasi. Menurut gitarisnya, Karl, penggunaan teknologi digital bukan sahaja meningkatkan kualiti persembahan, malah memudahkan keseluruhan operasi sesebuah produksi. “Ramai artis antarabangsa sekarang tidak lagi menggunakan monitor besar di atas pentas. Mereka guna IEM sepenuhnya. Ini menunjukkan arah industri sememangnya ke digital,” katanya. Tambah Karl, selain peningkatan kualiti, faktor kos turut menjadi antara pemangkin utama dan penggunaan peralatan analog konvensional memerlukan pelaburan tinggi yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit. “ Kalau guna amplifier dan speaker tradisional, kos boleh sampai RM40,000 hingga RM45,000 untuk satu ‘set up’ stereo. “Tetapi dengan sistem digital seperti Kemper Stage Profiler, kosnya jauh lebih rendah dan boleh terus disambungkan ke mixer. “Penggunaan sistem digital juga mengurangkan kebergantungan kepada peralatan sewaan serta mempercepatkan proses pemasangan di lokasi persembahan,” tuturnya

DARIPADA MASALAH KESOLUSI
Peralihan Cromok ke arah digital bermula daripada cabaran lama yang dihadapi mereka ketika persembahan langsung, khususnya isu monitoring di atas pentas. “Kami pernah guna sehingga lapan kabinet gitar di atas pentas semata-mata untuk memastikan setiap ahli dapat mendengar bunyi masing-masing,” katanya. Percubaan awal menggunakan IEM pada 2023 tidak berjaya apabila kualiti bunyi tidak memuaskan. Namun, perubahan berlaku selepas mereka menemui sistem IEM beracuan khas yang memberikan kejelasan bunyi yang lebih baik. Sejak itu, penggunaan teknologi ini diperluaskan sehingga membawa kepada keputusan untuk menggunakan sistem digital sepenuhnya dalam persembahan mereka.
SETUP DIGITAL SEPENUHNYA
Kini, Cromok menggunakan gabungan teknologi termasuk sistem IEM profesional, Kemper Stage Profiler untuk gitar serta dram digital berteknologi tinggi daripada jenama tempatan, Sudoku. Penggunaan dram digital ini turut mencerminkan sokongan terhadap inovasi tempatan dalam industri muzik. “Apabila semua instrumen sudah digital, kita teruskan keseluruhan setup supaya lebih konsisten,” katanya.
BUNYI LEBIH KONSISTEN
Dengan pendekatan ini, semua instrumen disalurkan terus ke sistem audio tanpa penggunaan mikrofon berlebihan di atas pentas. Keadaan ini menjadikan pentas lebih senyap dan mengurangkan gangguan bunyi seperti ‘feedback’ serta ‘noise spill’. “ Hanya satu mikrofon digunakan untuk vokal. Selebihnya semua masuk terus ke mixer. Ini menjadikan bunyi lebih bersih dan konsisten,” jelas Karl. Cromok juga membawa sistem sendiri termasuk rack dan mixer bagi memastikan kualiti bunyi yang sama disetiap lokasi persembahan. TEKNOLOGI TIDAK UBAH IDENTITI. Walau pun menggunakan teknologi moden, Karl menegaskan identiti muzik Cromok kekal sama. “Teknologi tidak mengubah jiwa muzik. ‘Soul’ itu tetap datang daripada artis,” katanya. Beliau turut mengakui penggunaan amplifier analog masih memberi kepuasan tersendiri, namun pendekatan digital lebih praktikal untuk persembahan berskala besar.
AI MEMPERCEPAT PROSES KREATIF
Cromok turut memanfaatkan teknologi digital dan “kecerdasan buatan” (AI) dalam proses kreatif mereka. Proses penciptaan muzik kini lebih fleksibel berbanding era analog yang memerlukan rakaman secara ‘one take’. “ Sekarang kita boleh sunting dan susun muzik dengan lebih cepat. AI pula membantu dalam menjana idea visual. “Malah, muzik video single terbaru kami dihasilkan sepenuhnya menggunakan teknologi AI tanpa penggambaran tradisional,” katanya
PRODUKSI LEBIH TERKAWAL
Penggunaan teknologi digital juga membolehkan integrasi sistem seperti MIDI dan click track dalam persembahan. Ini membolehkan setiap persembahan diselaraskan dengan lebih tepat daripada segi tempo, susunan muzik dan arahan teknikal. Pendekatan ini sekali gus meningkatkan kecekapan produksi dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja tambahan.
PENGALAMAN KONSERT YANG BERBEZA
Pendekatan digital ini dijangka memberikan pengalaman baharu kepada penonton dengan bunyi yang lebih bersih, seimbang dan konsisten. Walaupun pentas lebih senyap, sistem audio moden memastikan impak bunyi yang diterima penonton kekal bertenaga. “Ini bukan tentang kurang tenaga, tetapi bunyi yang lebih tepat dan terkawal,” katanya.
CROMOK & BARBARIK SATU PENTAS
Konsep digital ini akan dibawakan secara langsung menerusi konsert yang menghimpunkan Cromok dan Barbarik dalam satu pentas, sekali gus menjanjikan pengalaman berbeza kepada peminat muzik metal tempatan. Gabungan dua kumpulan ini bukan sahaja mempertemukan dua identiti muzik yang berbeza, tetapi turut membawa pendekatan persembahan yang lebih moden selari dengan perkembangan teknologi semasa. Selain persembahan bertenaga, konsert ini juga akan diperkaya dengan elemen visual dan produksi yang memanfaatkan teknologi digital dan AI, menjadikannya antara persembahan yang berbeza daripada kebiasaan dalam industri muzik tempatan.


