RASI JIWA
Ghea Indrawari Pukau Zepp KL: Debut Manis Si Gadis Singkawang di Kuala Lumpur
Kuala Lumpur kembali disapa harmoni, galau apabila penyanyi berbakat besar kelahiran Singkawang, Indonesia, Ghea Indrawari, akhirnya menjejakkan kaki di pentas ikonik Zepp KL. Konsert ini menandakan kemunculan sulung bekas peserta Indonesian Idol ini dalam sebuah persembahan berskala besar di ibu kota, dan jujurnya, Ghea tidak mengecewakan.
Berbeza dengan kebanyakan konsert pop yang biasanya padat dengan zon berdiri, penganjur kali ini memilih konsep duduk (seated) untuk keseluruhan ruang. Pilihan ini memberikan vibe yang lebih intim dan chill, sangat kena dengan repertoire lagu-lagu Ghea yang banyak bermain dengan emosi dan penceritaan.

Meskipun terdapat sedikit ruang kosong yang kelihatan di beberapa sudut, dengan anggaran kehadiran sekitar 70% daripada kapasiti penuh, ia langsung tidak mematahkan semangat Ghea. Malah, ruang yang tidak terlalu sesak itu membuatkan interaksi antara penyanyi dan peminat terasa lebih personal.

Pujian harus diberikan kepada pasukan produksi. Setup pentas dan sistem bunyi (sound system) di Zepp KL semalam memang baik. Vokal Ghea yang jernih dan berkarakter itu kedengaran sangat jelas tanpa sebarang gangguan teknikal yang menjengkelkan.
Pencahayaan (lighting) bagus dan berjaya menghidupkan mood bagi setiap lagu, terutamanya ketika lagu hit beliau, “Jiwa Yang Bersedih” dan “Terima Kasih Sudah Bertahan” berkumandang.

Ghea bukan sahaja menyanyi, malah dia bijak mengawal pentas dengan personalitinya yang ceria. Antara momen yang mencuri tumpuan adalah apabila Ghea sempat menjemput salah satu pengunjung bertuah untuk naik ke atas pentas. Momen ini mencetuskan sorakan gemuruh dan gelak tawa, membuktikan betapa rendah dirinya bintang muda ini.
Bermula dari lagu rancak hinggalah ke balada yang meruntun jiwa, Ghea berjaya membuktikan kualitinya sebagai penghibur serba boleh.

Kejutan terbesar malam itu adalah apabila Ghea memilih untuk mempersembahkan lagu barunya yang belum dilancarkan secara eksklusif untuk julung kalinya. Ia adalah “hadiah rahsia” yang cukup bermakna bagi peminat di Kuala Lumpur, menandakan betapa istimewanya sokongan rakyat Malaysia di mata penyanyi ini.
Malam tersebut turut diceriakan dengan momen-momen intim yang menunjukkan betapa kuatnya hubungan Ghea dengan peminatnya.

Suasana menjadi satu kenangan manis untuk peminat apabila Ghea dilihat memberikan bunga ros kepada peminat sebagai tanda penghargaan, dan dalam masa yang sama, dia turut dihujani dengan pemberian bunga daripada penonton yang hadir. Interaksi dua hala ini memberikan jiwa kepada konsert tersebut.

Sebagai penutup, persembahan Ghea Indrawari semalam bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah keraian seni yang indah. Walaupun ini adalah kali pertama dia beraksi di sini, Ghea telah meninggalkan impak yang cukup dalam. Malaysia pastinya akan sentiasa terbuka untuk menyambut kepulangan si gadis Singkawang ini pada masa akan datang.
“Semua ok. Balance. Horn section perfect. Band yang back up dia tu masih muda2 tapi power.
Suara dia tidak sumbang. Sama macam radio..
…semua dengar.
And masa memula datang, I dah ready for galau feel (macam jiwang, mellow)
But surprisingly lagu2 dia variety
Ada yang macam Mocca (story telling/fantasy), ada yang macam muzik cabaret.
Ada mood jrock jugak macam anime tu. Maybe sebab suara dia halus gitu..
lighting minimal, kena degen tema and tidak mengganggu performance. Dancers semua pun ok complement the show.”…Tommy Love





