

22 OKTOBER @ ZEPPKL
Rata-rata masih ramai yang agak ‘baru’ dengan ZEPP KL yang masih baru mula beroperasi beberapa bulan yang lepas; tercari-cari pintu masuk bangunan, laluan parkir, termasuklah pintu masuk dewan utama berdasarkan harga tiket masing-masing. Namun, kami yang hadir sebagai media tidaklah begitu sukar (namun masih teragak-agak juga.. nasib baik betul!) untuk mencari laluan pintu masuk media. Bantuan pihak penganjur pun agak baik, melayan dan dan menjemput semua tetamu yang hadir dengan penuh sabar, walaupun ternampak jelas kepenatan diwajah mereka, demi menjayakan Wings Naga Kramat yang berlangsung pada 22 Oktober baru-baru ini. Satu-satunya band kita yang masih berani tampil dengan konsert solo sewaktu kebanjiran (semula) band-band dari seberang dalam tempoh beberapa bulan ini sehingga akhir tahun, jika tiada apa-apa halangan. Pasca-PKP Malaysia ibarat “reset button” yang membawa kita sewaktu era awal 2000-an semula, menyaksikan limpahan band-band negara jiran datang merampas tumpuan kita yang sejak kebelakangan ini agak ternanti-nanti bahan-bahan terbaru dari band-band atau pemuzik tempatan yang lebih berisi dan bermakna untuk didengari. Sememangnya, industri muzik kita agak lompong sejak akhir-akhir ini dengan idea-idea baharu, hanya disajikan hiburan dari usahawan kosmetik atau mereka yang kurang atau tiada kredibiliti langsung dalam pembangunan dan perubahan muzik Malaysia.
Sekitar jam 8.15pm, saya masih diluar pintu masuk bangunan, sambil menikmati cuaca hujan menunggu beberapa rakan media ROTTW yang masih dalam perjalanan. Tiba-tiba, beberapa buah BMW berhenti dihadapan saya, bersama stiker konsert dipintu, dan seorang demi seorang line-up Wings keluar dari kenderaan masing-masing. Tepat jam 9 malam persembahan bermula. Agak kelam-kabut juga kerana ada diantara kami yang masih dipintu luar tingkat LG bersama perut yang belum diisi, ditambah pula kaunter 1901 juga turut diniagakan. Dengan cuaca hujan diluar dan penghawa dingin dalam bangunan yang menambahkan suasana sejuk, dan menuntut proses pembakaran tenaga dalam tubuh badan supaya kekal panas, maka saya mendahului mereka yang masih lapar itu dengan persembahan pembuka tirai majlis bersama 3 buah lagu dari album Naga Kramat, “Entah Kiri Atau Kanan” dan “Jumpa Hilang”, seiring dengan tajuk konsert mereka. Awie seakan mengagak yang majoriti penonton kurang ingat atau tidak begitu ‘dekat’ dengan rilisan tersebut, dan dia hanya berpesan, “ kalau tak tahu pun, buat-tahu sajalah”sebaik tamat persembahan dua lagu itu. Persembahan diteruskan dengan lagu ke-3, “Lubuk Pusing”, dan diteruskan dengan lagu-lagu lazim.
Manipulasi awie diatas pentas bersama pembawakan karektor Husin cetusan arwah mamat khalid dalam filem-filemnya zombie-nya yang sudah kuat, tak mungkinlah majoriti yang datang tidak tahu akan watak itu, jika seluruh ruang acara penuh riuh dengan gelak tawa menyaksikan elemen humor yang disampaikan olehnya. Boleh jadi, seluruh dewan lebih menantikan ‘stand-up joke’-nya berbanding persembahan laguan mereka. Setiap set lagu yang tamat sentiasa bergema dengan ketawa yang berdekah oleh para hadirin sekalian, lebih kuat daripada suara sing-along sewaktu persembahan barangkali. Paling terkesan adalah selepas tamat lagu Hukum Karma, “sekarang musim orang gila kuasa sudah datang. Setiap 5 tahun kita akan jumpa orang-orang macam ni” kata Awie. Kena pada waktu sekarang memandangkan parlimen pun sudah dibubarkan, hanya menghitung hari saja. Visual sewaktu persembahan lagu ini juga agak menarik, dengan elemen darah yang mengalir, membangkitkan suasana dan mood ‘ganas’ lagu. Mungkin ada mesej yang tersirat barangkali.
Namun, disebalik keriuhan penonton menikmati jenaka diatas pentas, rasa sayu yang tak diundang menyinggah ke hati saya sewaktu lagu Taman Rashidah Utama didendangkan, dan seluruh ingatan saya terus meneroka minda mencari satu nama besar yang baru saja meninggalkan kita semua kurang lebih sebulan yang lalu, iaitu arwah Bob Lokman. Inilah antara lagu yang sangat sinonim dengan dirinya. Nama sebuah taman perumahan telah dijadikan tajuk lagu, mengenangkan seorang gadis yang disukainya sewaktu muda dahulu, dan diabadikan dalam penulisan lagu. Terima kasih abang Bob untuk sebuah karya yang halus dan berjiwa.
Rata-rata, mereka lebih kepada mempersembahkan lagu-lagu hits yang biasa didengari; Peronda Jaket Biru, Bernafas Dalam Lumpur, Hukum Karma, Ingatkan Dia, Pentas Opera, Sejati dan lain-lain lagi. Ramai yang agak terkeliru sewaktu lagu Sejati yang mungkin merupakan penutup persembahan, kerana mereka terus turun dari pentas dengan ucapan selamat tinggal sesudah tamat lagu itu. Tapi, seperti biasa, gimik yang terlalu umum dilakukan oleh mana-mana band, dan masih tetap digemari oleh orang dewasa. Mungkin inilah satu-satunya ‘scam’ yang sangat mengujakan bagi setiap pengunjung konsert, ‘encore’. Kita sudah tahu kesudahannya, tapi tetap tak jemu dengan tipu-helah ini sejak zaman-berzaman lamanya. Namun, apa yang lebih mengujakan saya secara keseluruhannya, adalah Black. Ketukannya agak ringkas, tapi masih padu. Sifat minimalis dalam permainannya agak menyenangkan telinga saya.
Sekali lagi, Wings tampil di atas pentas dengan penutup majlis yang sebenar, “Dalam kehadiran Sofiah” daripada album Jerangkung Dalam Almari. Ternyata, persembahan mereka tak pernah menjemukan, dengan kehadiran Sayap-Sayap Wings dan pengikut dari aliran motor Wings Society, konsert mereka sentiasa fullhouse. Wings tetap utuh sepanjang zaman. Ada suatu hal yang ingin ditulis; boleh jadi kebanyakan pengikut Wings (termasuk saya) secara perlahan-lahan cuba untuk belajar dan menerima ketiadaan Joe yang kini selesa bergerak solo, sepertimana kita belajar untuk menerima ketiadaan orang-orang yang telah pergi buat selama-lamanya. AL-FATIHAH. –
TEKS: xMINDFIELDx


