

5 NOVEMBER 2022
Inilah kesimpulan penulis pun. Show Gigi tempohari memang ‘gila babi’.
Perkataan yang diajarkan kepada Armand dari seorang rakyat Malaysia bila beliau menanyakan bagaimana mahu mengekspresi keterujaan, atau perasaan sangat enak atau hebat, dalam bahasa Malaysia.
Jadi sepanjang acara, apabila teruja, beliau berkata, ini sangat ‘gila babi’
Sebelum masuk ke dewan acara, ramai pemuzik tanah air yang terlihat berlegar di luar. Ada Along Exist, Aie Spider, Neves Pretty Ugly serta beberapa rakan industri yang sudah lama tidak ketemu.
Acara bermula. Dewa Budjana, sepertimana biasa, cool, dengan beberapa koleksi gitarnya untuk memenuhi tugas pada malam itu. Thomas persis Flea menurut saya malam itu, berwarna warni lagi, dan ahli termuda yang mengemudi drum, Gusti, nampak steady dan santai sahaja untuk memenuhi tanggungjawabnya menghibur pembeli tiket mereka di Kuala Lumpur.
Sound serta lighting di tahap terbaik. Tiada complain.
Semua hits dimainkan pada malam itu. Armand yang dilanda batuk beberapa kali mengajak para penonton mendoakan beliau agar sekurang kurangnya dapat menghabiskan acara dengan sempurna demi semua peminat yang memenuhi Zepp demi mereka. Seperti yang dijngka, “Nakal” menjadi penutup pada malam itu. Lagu yang paling mengerah tenaga serta suara Armand.
Setelah persembahan berakhir, kami berkesempatan dijemput ke belakang pentas bagi menemui mereka. Terutamanya Dewa Budjana, yang menurut crew, telah beberapa kali menyebut nama ‘Abang Rom’ sebelum acara bermula.
Mereka saling mengikuti rapat progres masing masing di social media dan kerap kali berbual soal muzik. Jadi kedatangan ke Kuala Lumpur menjadi kesempatan untuk bertemu yang pasti tak boleh dilepaskan.
Setelah berpelukan dan bertanya khabar masing masing, mereka berbual sebentar. Penulis turut mengambil kesempatan bertegur sapa bersama Gusti yang berada di sebelah Dewa.
“Kapan bisa lihat koleksi gitar Abang Rom?” Dewa bertanya bos.
“Datang ke rumah,” seperti biasa bos kerap mengajak siapa pun untuk bertandang ke rumah. Mengeteh atau mengopi.
Terdapat beberapa artis tempatan juga di situ. Bos sempat juga berbual sebentar bersama saudara Man Bai.
Atas faktor kesihatan, bos tidak boleh terlalu lama di lokasi sesak. Dalam perjalanan keluar, sempat sekali lagi bos berpelukan serta berbual ringkas bersama Armand Maulana.
“Jaga kesihatan ya bang,” pesannya yang juga tidak berapa sihat.
Selebihnya, tentang acara, penulis biarkan anda para pembaca, menikmati sendiri pengalaman malam itu menerusi video serta gambar gambar yang kami paparkan.
Tahniah dan terima kasih kepada penganjur, Tanjak Global di atas penganjuran cemerlang. Terima kasih YOLO, Hanif, Mail, Opie Sofia, dan semua yang terlibat di atas jemputan ini. Sehingga ketemu lagi di penganjuran akan datang.