
ULASAN KONSERT-Azlin Zin
Kali terakhir membuat persembahan di Malaysia pada tahun 2017 di Mega Star Arena, kemunculan “supergroup” Mr Big di Zepp Kuala Lumpur dalam siri jelajah The Big Finish amat dinantikan oleh para peminatnya. Tambahan pula, Kuala Lumpur merupakan destinasi terakhir mereka di Asia sebelum mereka memulakan jelajah The Big Finish di USA.
Pada siri jelajah ini, Mr Big dianggotai oleh Billy Sheehan, Paul Gilbert, Eric Martin dan pemain dram baru Nick D’VIrgilio.
Sebagai sebuah “supergroup” yang profesional, kematangan mereka terserlah apabila memulakan persembahan tepat 8:30 malam seperti yang dijadualkan. Mungkin ada yang mengatakan ini hanya sekadar kebetulan tetapi mereka juga menunjukkan sikap ketepatan waktu yang sama ketika membuat persembahan di Mega Star Arena pada tahun 2017 dan di Stadium Merdeka pada tahun 1994.
Memulakan set dengan 3 lagu rancak Addicted To That Rush, Take Cover serta Undertow menunjukkan bahawa Mr Big masih menyengat dari segi musicianship. Tambahan pula dengan vokal Eric Martin yang cukup memukau telah berjaya membawa peminat-peminat mengimbau kenangan lama khususnya pada era album Lean Into It dan Bump Ahead.
Paul Gilbert pada kali ini menggunakan beberapa jenis guitar Ibanez dan amplifier Marshall serta amplifier Roland Jazz Chorus. Tone beliau juga tidak terlalu “hi gain” dan tidak langsung membingitkan telinga. Kombinasi tone guitar Paul Gilbert amat berpadanan dengan tone bass Billy Sheehan yang sangat “solid”.
Pemilihan Nick D’VIrgilio sebagai pemain dram juga amat tepat kerana beliau mempamerkan stroke pukulan yang amat meyakinkan dan beliau juga berkebolehan untuk menyanyi latar sebagaimana yang dilalukan oleh mendiang Pat Torpey.
Mr Big mempersembahkan hampir 24 buah lagu, termasuk lagu-lagu hit mereka seperti Wild World, To Be With You, Green Tinted Sixties Mind dan Promise Her The Moon. Lagu-lagu rancak yang menjadi setlist wajib pula seperti Colarado Bulldog, Baba O’Riley, Thirty Days In A Hole juga tidak mengecewakan para peminat tegar mereka di Malaysia yang turut serta menyanyikan lagu bersama-sama.
Secara keseluruhan, konsert Mr Big “The Big Finish” di Zepp Kuala Lumpur merupakan persembahan yang amat didahagakan oleh para peminat mereka di Malaysia. Bagi mereka yang sempat hadir, anda telah melakar diri anda sebagai sejarah dalam menyaksikan persembahan terakhir kumpulan Mr Big di Asia.
Komen komen dari pengunjong
“Ada masanya apabila pemuzik virtuoso bergabung dalam satu band, teknik itu mengatasi muzik… tapi dalam kes Mr. Big, kebolehan dan musicality setiap pemuzik membuat persembahan The Big Finish di Kuala Lumpur satu pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Tone Paul Gilbert menyerlah dan berseni, stage presence dan gaya Billy Sheehan hebat, nyanyian Eric Martin bertenaga dan penuh interaksi dengan penonton dan semestinya time feel Nick D’Virgilio solid sepanjang persembahan. Antara show rock yang terhebat saya pernah tengok secara live.”
..Az Samad
“Mr. Big tetap Mr. Big la bang.. cuma bila dah meningkat usia, dorang dah tak selincah macam masa muda. Tapi music wise makin matang la bang.”
“Overall sound very clean. Saya suka drum sound dia. Sound balance bole dengar semua, cuma kadang2 sound Billy Sheehan tak konsisten je. Mungkin ada masalah teknikal kot.. Lain2 ok”
..Rahmad Kamikaze
“Untuk umur mereka yang 6 – 7 series, Muzza memang salute dan terhibur dengan persembahan Mr.Big. Mereka memang world class artist.”
“Paling best bila Paul Gilbert pakai drill untuk solo gitar, memang itu yang Muzza nanti nantikan dan memang nampak mereka perform sebagai band, play for each other and play for the songs…tak ada nak aku overshadow kau, kau overshadow aku. That is very special apa yang Muzza nampak sebagai penonton. Dorang perform, Muzza kat bawah boleh rasa apa yang mereka buat atas pentas.”
“Ditelinga Muzza sound Mr.Big 9/10 Muzza bagi sebab (mungkin kedudukan Muzza berdiri) sound diorang agak kecik”
..Muzza
“Pandangan saya, konsert Mr.Big malam tu dari sudut performance memang tak boleh dinafikan…ini kali ke tiga saya tengok konsert diaorang…memang terbaik…Sound ok,cuma malam tu saya rasa sound diaorang tak blast..tak puas dengar sound gitar Paul Gilbert…saya duduk dibelakang console…tengah2…Ada rasa macam tak cukup…tak boleh lawan sound dia masa 1994 stadium Merdeka…mungkin indoor lain skit kot….Billy Sheehan, itulah sound dia dari dulu saya dengar sampai sekarang…tak berubah …Drummer power, mungkin saya dah terbiasa dengar Pat Torpey punya ketukan, so saya tak rasa puas…part last sekali, memang terasa sedih bila diaorg announce yang Mr.Big tak ada lagi dan Malaysia last show diaorang…Keseluruhan bagi saya , Mr.Big memang terbaik…..tq”
..Ejam Tukang Karut








