
SIARAN AKHBAR
Butterfingers Mahu Mencipta Magis Sekali Lagi Di Stadium Malawati Untuk Meraikan 2 Dekad
Album Malayneum, Dalam Konsert Malayneum 23
KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Konsert Transcendence 20 Tahun di Stadium Malawati, Shah
Alam pada 2 November tahun 2019 sejurus sebelum pandemik Covid-19, tahun ini Butterfingers ingin
membawa pengikut-pengikut kultus menyusuri kembali, imbauan rasa nostalgia kegemilangan
kemuncak muzik mereka dalam era album ke-4 Malayneum menerusi Konsert Malayneum 23 di
Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 Oktober tahun ini.
Antara teraju utama kumpulan Butterfingers, LoQue atau Khairil Ridzwan Annuar berkata, idea ini
sudah lama tersimpan di benak pemikiran saya sebaik selepas kejayaan Konsert Transcendence 20,
namun terbantut akibat dunia diserang pandemik untuk beberapa tahun. Maka tahun 2023 ini dilihat
‘cuaca’ yang agak baik untuk kami laksanakannya.
Kata LoQue “Butterfingers percaya semua pendengar dan pengikut kultus kami sentiasa dahagakan
persembahan kami secara ‘live’. Kami juga percaya, tindak balas kimia yang kami salurkan apabila
kami berempat berentap bersama di atas pentas sejak pasca Transcendence 20 bakal menggamit
nostalgia serta mengukir memori baru baik kepada penonton juga kepada kami ahli kumpulan.”
Apabila ditanya mengapa tujuan utama Konsert Malayneum 23 ini diadakan adalah kerana
Butterfingers pada tahun 2001 ketika itu sedang ligat menghasilkan album demi album sejak album
pertama iaitu 1.2 Milligrams. Ketika album ke-3 Butterfingers Transcendence belum selesai mendapat
menempa nama di arus perdana, tanpa melengahkan masa Butterfingers terus telah mengeluarkan
album ke-4 mereka Malayneum dengan bunyi-bunyian yang lain dari album-album sebelumnya.
Menurut LoQue, “Dari perspektif syarikat rakaman, album ini telah dikira sebagai ‘bunuh diri secara
komersial’ kerana kami (Butterfingers) telah pusing 180 darjah bunyi-bunyian kami untuk lari dari
bunyi-bunyian album Transcendence sebelum itu. Oleh kerana album Malayneum ini dilihat sebagai
janggal dan aneh dari album-album sebelumnya, juga atas beberapa faktor lain yang tak dapat
dielakkan, maka kami tidak sempat untuk meraikan album ini secara sepenuhnya ketika itu. ‘Tour’
(kembara) Malayneum tidak dapat diraikan sepenuhnya maka telah dipendekkan..”
“Oleh itu, album ini dianggap ‘setengah masak’ kerana kami tidak dapat bermain ‘live’ lagu-lagu dari
album Malayneum secara menyeluruh. Jadi, Konsert Malayneum 23 ini bakal menyaksikan lagu-lagu
dari album Malayneum antaranya, akan dimainkan dalam perspektif yang berbeza di era yang
berbeza untuk semua yang hadir nanti.” tambah LoQue.
Emmett yang bakal tampil bermain gitar semula atas permintaan ramai, dia berkata, “Saya begitu
teruja dan hanya berharap untuk ‘menghidangkan’ satu persembahan yang boleh diingati dan luar
biasa. Tidak lebih dari itu. Yang paling penting adalah untuk saya sendiri merasa puas yang
betul-betul puas, ini kerana jika diri saya dapat rasai kepuasan tersebut, maka sudah pasti anda
semua yang hadir tentu akan lebih puas, sepuas-puasnya.”
Tambah Emmett lagi, “Malayneum adalah satu album ‘underrated’ yang lahir sebelum kami
memasuki “Era hibernasi peti ais” (hiatus) dan seluruh ahli kumpulan tidak dapat berpeluang
meraikannya dengan secukupnya. Kebanyakan lagu-lagu dalam album ini juga kesemuanya jarang
dimainkan di atas pentas dan ada yang langsung tidak pernah dipersembahkan. Album ini datang
dengan bunyi-bunyian yang tidak ‘grunge’ seperti kebanyakan album yang kami ada.”
LoQue pula menambah, “Trek-trek dalam album Malayneum sangat berbeza berbanding album kami
yang lain. Ketika merakamkan album ini, kami agak bosan dengan ‘power chords’, otak kami juga
telah pecah kepada pelbagai saluran kreativiti. Ini kerana ketika itu Emmett dan saya dipengaruhi
oleh muzik-muzik yang di luar aliran ‘rock’ mahupun ‘grunge’. Album Malayneum ini juga secara
kiasannya ibarat ‘senjakala’ kerana ia perantara antara siang dan malam.”
“Oleh kerana itu, kami menyuntik elemen-elemen akustik dan elektronik seperti penggunaan
ensemble biola ‘string quartet’, ‘horn section’ (trumpet dan trombol) dan juga permainan runut
sampel-sampel (antaranya suara Cikgu, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee) dan synthesizer.”
Bercerita perihal Malayneum, Loque berkongsi lagi, “Apabila memikirkan kembali sekarang, 2 dekad
selepas dikeluarkan, saya boleh katakan Malayneum sangat menonjol sebagai satu album kami yang
paling unik. Album ini berada di antara grunge, alternatif dan indie rock. Album ini juga berada dalam
kategori sendiri dalam “satu ruang” yang menarik, sukar untuk kami letakkan dalam mana-mana
kategori. Kami yang ketika itu, sedang giat menyiapkan beberapa lagu dan album, namun boleh
beralih daripada era grunge kepada sesuatu yang “lain”. Ia seperti album yang terperangkap dalam
transit antara 2 era, tidak berada dalam mana-mana acuan tertentu. Selepas 20 tahun, kami
bersyukur kerana kami membawa haluan tersebut yang belum pernah lagi dibawa Butterfingers tetapi
Malayneum cukup siap dan berada dalam liganya sendiri”
Kadak pula berkata “Malayneum ini adalah satu karya yang ‘diperam’ dan ‘masak ranum’. Pendengar
album ini diharap dapat alami semua lagu dan menikmatinya dengan baik terutamanya pada
persembahan malam nanti. Mari sama-sama runtuhkan tembok yang membatasi pilihan musikaliti
Butterfingers yang susah lagi bersama sekarang kerana kekangan masa masing-masing dari kami.
Ini juga masanya kita berkumpul, alami dan hargai usaha keseluruhan bunyi-bunyian lagu dari album
Malayneum. Kalau bukan masa anniversary (ulang tahun ke 20) ini, bila lagi?.”
Mengakhiri perbualan bersama Kadak, dia memberi tafsiran bahawa “Lagu-lagu dari album
Malayneum ini sebagai ‘gelap’ atau ‘abyss’, bermaksud kebanyakan lagu adalah bermain dengan
satu kitaran percikan emosi dan liriknya dititipkan transisi perasaan yang mahu dizahirkan. Pada
malam konsert nanti kami akan cuba menjanjikan kelainan. Untuk yang mahu tahu apa kelainan yang
akan kami bawa, maka ‘wajib’ membeli tiket sebelum terlambat dan rugi.”
“Konsert Malayneum ini akan menjadi pentas besar dan kami meletakkan sepenuh harapan untuk
penonton datang. Ini juga sebagai hadiah kepada penggemar bunyi Butterfingers yang sentiasa
menunggu kehadiran Butterfingers walaupun setelah beberapa tahun tidak bersama dalam satu
pentas besar. Untuk yang ingin tahu kelainan konsert kali ini, perlu lah hadir…” Loko berharap semua
yang membesar dengan muzik Butterfingers dapat hadir bersama meriahkan konsert ini selain
berharap dapat menarik minat generasi baharu terhadap muzik yang dibawakan oleh mereka.
“Walaupun konsert ini untuk meraikan 2 dekad album Malayneum, namun demi tidak mengecewakan
pengikut kultus kami, kami akan menyajikan lagu-lagu ‘kek lapis’ dari era awal Butterfingers iaitu
lagu-lagu kegemaran ramai dalam repertoire kami.” kata LoQue sebelum perbualan berakhir.
Konsert Malayneum 23 Butterfingers bakal diadakan pada tanggal 7 Oktober depan di Stadium
Malawati, Shah Alam. Lokasi ini sekali lagi dipilih kerana kapasiti penonton yang boleh memuatkan
sehingga lebih 8000 penonton dalam satu-satu masa.
Tiket konsert sudah mula dijual! Zon tempat duduk mula dijual dengan harga bermula RM99
(Ginseng), RM135 (Suddenly), RM199 (Pacific) dan RM249 (Mating Season). Manakala untuk zon
berdiri, harga tiket boleh didapati pada harga RM169 (Malayneum) sahaja.
Serta tambahan tempat duduk utama dengan harga bermula RM499 (Malayneum Deluxe) untuk
pembeli bergambar bersama (meet & greet) dan memiliki barangan rasmi (official merchandise).
Segala urusan pembelian tiket adalah menerusi www.ticket2u.com.
Sebarang info lanjut mengenai penganjuran Konsert Malayneum 23, terus hantarkan emel anda ke
penerbitanpancasona@gmail.com atau hubungi 012-2032585 (Penerbitan Pancasona).
Mengenai Butterfingers
Butterfingers ialah sebuah kumpulan rock Malaysia yang diasaskan sekitar tahun 1993 dan mula aktif
secara rasmi sejak 1995, perlahan-lahan berjaya “menakluk bunyi” mereka dalam kedua-dua
landskap baik dari bawah tanah atau ketika itu lebih dikenali sebagai underground, juga arus perdana
di Malaysia. Pada peringkat awal, lagu-lagu mereka adalah di dalam bahasa Inggeris sahaja, namun
selepas album ke-4 iaitu Malayneum, mereka telah beralih ke Bahasa Malaysia. Sepanjang kembara
era awal mereka telah berjaya melepaskan 3 Demo Album, 2 Album Kompilasi serta 6 Album Studio.
Bermula daripada 1.2 Milligrams (1996) sehingga album Kembali (2007).
Ahli Butterfingers terdiri daripada LoQue atau nama sebenar Khairil Ridzwan Annuar sebagai
komposer utama, penulis lirik, merangkap pemain gitar utama, piano serta penyanyi latar. Manakala
Emmett Roslan Ishak sebagai penulis lirik, merangkap penyanyi utama, juga gitar. Kadak atau Mohd
Fakharudin Mohd Bahar memegang posisi pemain bass dan Loko atau Noor Haffizal Rashid telah
menggantikan Kalai atau Khairul Nizam Mois sebagai pemain dram Butterfingers sejak 1998.
Muzik Butterfingers pada era awal mereka dikategorikan sebagai Grunge. Namun, kreativiti mereka
berubah-ubah setiap kali mereka mengeluarkan album baru. Bunyi yang mereka hasilkan semakin
matang, merangkumi pelbagai pengaruh seperti rock alternatif, post-grunge, rock klasik, rock
psychedelic, rock progresif dan paling utama adalah suntikan unsur-unsur nusantara / tradisional /
rakyat / Malaysia sejak album 1.2 Milligrams. Butterfingers sejak dahulu lagi telah dikenali dengan
persembahan atas pentas cukup bertenaga sehingga dicop sebagai ‘crowd-puller’ kerana berupaya
menarik penonton untuk hadir ke gig-gig kecil hingga ke konsert-konsert besar tempatan.
Selepas pasca album Kembali sekitar 2008, mereka mengambil keputusan untuk ‘berehat’ atau
menurut LoQue ‘dibekukan di dalam peti ais’. 8 tahun selepas itu, Butterfingers telah bersama untuk
membuat persembahan ringkas di Festival Rockaway, kemudian pada tahun 2019, sebulan-dua
sebelum pandemik Covid-19, Butterfingers telah berjaya membuat persembahan solo sulung di
Stadium Malawati yang dianjurkan oleh Penerbitan Pancasona dan telah berjaya menyatukan
pengikut-pengikut kultus ‘pergerakan Bunyi Butter’ dari seluruh pelusuk nusantara membuktikan
hampir 8000 orang yang telah hadir menjadi saksi kejadian konsert solo sulung Butterfingers.
Kini, tahun 2023 Butterfingers sekali lagi, ingin mengulangi magis 2019 itu di tempat yang sama iaitu
Stadium Malawati untuk Konsert Malayneum 23.
Sokonglah Pergerakan Butter Anda!
Ikuti Butterfingers di:
Facebook: B U T T E R F I N G E R S
Instagram: butterfingers.my
Hubungi:
Penerbitan Pancasona
penerbitanpancasona@gmail.com
012-2032585
