
Ulasan Konsert Michael Learns To Rock – Encore: All The Hits, Arena of Stars Genting Highlands, 9hb November 2025
“Encore MLTR: Tak Banyak Berubah, Tapi Peminat Tetap Datang”
Michael Learns To Rock (MLTR) kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi konsert
Encore: All The Hits yang berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting, malam
semalam. Band pop rock yang berasal dari Aarhus, Denmark dan dianggotai oleh Jascha
Richter (vokal dan kibod), Mikkel Lentz (gitar) dan Kåre Wanscher (dram) itu seakan sudah
menjadi ‘band residen’ Genting memandangkan kekerapan mereka kembali ke pentas yang
sama saban tahun.
Konsert kali ini, walaupun dinamakan Encore, sebenarnya tidak jauh berbeza daripada konsert
Take Us To Your Heart tahun lalu. Dari struktur setlist, skrip, grafik yang melatari pentas,
confetti, hingga ke segmen akustik, hampir semuanya dikekalkan menjadikan persembahan kali
ini seperti versi lanjutan kepada persembahan sebelumnya. Bezanya cuma gaya vokalis Jascha
Richter yang tampil lebih formal, bagaikan seorang YB atau dalam konteks Malaysia, mungkin
sudah boleh disarankan menerima gelaran Datuk.
Konsert bermula lewat sikit dari jam enam petang dengan Someday, sebelum diteruskan
dengan deretan lagu-lagu malar segar seperti Sleeping Child, Complicated Heart, I Still Carry
On dan Blue Night. Bahagian akustik di pertengahan konsert menampilkan I’m Gonna Be
Around, Out Of The Blue dan Nothing To Lose, yang mengekalkan suasana intim antara band
dan peminat, sama seperti tahun lalu.
Seterusnya, MLTR menghidupkan suasana dengan 25 Minutes, The Actor, Love Will Never Lie
dan Breaking My Heart, disusuli detik paling ‘rock’ malam itu menerusi Wild Women, di mana
mereka sempat menyelitkan rangkap lagu Relax (Frankie Goes to Hollywood) – satu rujukan
halus kepada sejarah nama kumpulan itu sendiri.
Dengan kehadiran hampir 4,000 penonton, dewan Arena of Stars yang berkapasiti lebih 5,000
tempat duduk tetap terasa penuh dan hidup. Seperti biasa, pengunjung bukan sekadar dari
Malaysia, tetapi juga pelancong luar yang membeli tiket di kaunter pada saat akhir, bukti tarikan
universal MLTR yang masih kuat di rantau ini.
Walaupun persembahan mereka tidak banyak berubah, kehadiran MLTR masih mempunyai
daya tarikan tersendiri. Lagu-lagu mereka bersifat terus terang, tidak berlapik, dan mudah
difahami, sesuai dengan jiwa pendengar Asia yang menjadikan balada Inggeris mereka sebagai
runut bunyi kehidupan sejak era 90an. Setiap lagu disambut dengan nyanyian beramai-ramai,
menjadikan konsert ini lebih seperti sesi karaoke besar yang penuh nostalgia lebih daripada
sekadar persembahan muzik.
Selama 37 tahun perjalanan muzik, MLTR kekal sebagai antara band pop-rock Scandinavia
paling konsisten, dengan sembilan album studio dan ratusan persembahan di seluruh dunia.
Dalam usia 50an dan 60an, mereka masih mampu memancarkan tenaga dan kehangatan sama
seperti era awal. Encore: All The Hits sekali lagi membuktikan bahawa Michael Learns To Rock
bukan sekadar nostalgia tetapi mereka adalah fenomena melangkaui generasi.
Kalau yang terlepas konsert MLTR kelmarin, saya rasa penganjurnya MMIC tiada halangan
untuk membawa MLTR sekali lagi tahun depan sebab muzik mereka memang ada pasarannya
di sini. Alang-alang boleh jemput Ella untuk duet lagu “Pedih”. Cuma lepas encore, apa pula
seterusnya?
Penulis:Nazri Ngah
10 Nov. 2025




