RAJA FUN FAIR KE EKSPEDISI MUZIK YANG MEMUNCAK!
XPDC…….Kekuatan namanya seringkali disebut dan diperdebatkan sehingga kini. Baru-baru ini pada 8 Nov 2025 mereka telah mengadakan konsert XPDC Metalkestra di Zepp KL. Ini adalah gabungan mereka bersama iringan muzik orchestra bagi memberikan kelainan. Persembahan dimulakan dengan visual video berlatarkan suasana di Jepun. Pembuka kata dalam bahasa Jepun memberi mukadimah bagi memulakan persembahan. Konsert pada kali ini adalah bertemakan Samurai mengikut album pertama mereka bersama Ali pada tahun 1998.
Jeritan peminat seakan tidak sabar dan tirai dibuka tepat jam 8.30 malam dan kelihatan dua maskot pahlawan Samurai merasmikan pentas mereka dengan alunan muzik gendang. Dentuman diteruskan ketukan dram Lola yang begitu memukau membawa lagu “Dunia 4 Segi”dengan penuh momentum! Masing-masing berpakaian tradisional ala Jepun dan penonton bersorak menyanyi bersama. Tanpa membuang masa lagu “KIng El Mondoque”, “Samurai”, dan “Berdesup Cahaya” dimainkan dengan penuh bertenaga sekali!

Lagu-lagu popular terus dimainkan dan ketika lagu “Bahalol”, mataku terpegun dan menikmati petikan solo dari Izo memainkan lagu ini secara instrumental. Gayanya yang statik dan fokus kepada permainannya adalah sinonim dengan beliau dari dulu berbanding rakan-rakan lain terutamanya Eddie (bass) yang banyak bergerak di pentas. Aksi Mamu (vokalis) begitu lincah dan vokalnya tidak perlu diragui kehebatannya.Lagu “Tanggis Darah” memberi ruang kepada penonton untuk berehat seketika sebelum menyambung lagu yang heavy dan mengakhiri dengan lagu “Pelesit mata sebelah” sebagai penutup set pertama mereka.
Tirai ditutup kembali dan menyajikan klip video lagu “Rahmah” yang dipetik dari album ‘Doa’ sebagai dedikasi buat Palestin. Alunan lagu “Abadikan Tragedi” beralun membuka set kedua mereka dengan sebuah kejutan. Suara seakan Arwah Mael berkumandang dan kelihatan Abam Gad dari Real XPDC menyampaikan lagu nostalgia ini. Terpinga-pinga dan ada yang terpaku melihat beliau di atas pentas. Sebelum ini Real XPDC terpalit dengan kontroversi namun XPDC telah memberi kepercayaan kepadanya untuk memberi penghormatan menyampaikan lagu-lagu mereka. Suka atau tidak XPDC mungkin ada jawapannya tersendiri. Abam Gad juga membawakan lagu “Aku dan Sesuatu” dan mengakhiri “Nafisa”. Tidak dinafikan gaya, suara dan penghayatan yang begitu baik berjaya menyentuh hati penonton pada malam itu. Melepaskan kerinduan terhadap suara Arwah Mael. Bak kata Mamu pada malam itu kita enjoy sahaja. Al Fatihah buat Arwah Mael dan JS Kevin muka mereka terpapar di belakang skrin pentas.
Mamu mengambil alih pentas semula dengan lagu ‘Monggol Dah Pulang” namun gitar Izo mengalami masalah teknikal melarat sehingga ke lagu seterusnya “Raja Kertas”. Arif (2nd gitar) secuba upaya mengawal situasi tersebut sehingga krew teknikal berjaya menyelesaikannya dan Izo hampir menukar kepada gitar Jackson nya. Mereka kembali bertenaga dan menjemput pula Ali untuk menyampaikan lagu “Hentian Ini” dan “Titian Perjalanan” dengan sorakan nama beliau oleh penonton yang begitu teruja. Walaupun beliau tidak sihat namun tetap memberikan yang terbaik dan penonton seakan memahami dan terus menghayati aura suaranya.
XPDC kembali memanaskan pentas dengan lagu “Nyanyuk”, “Kita Peng Yu” dan “Selendang Merdeka”. Mengakhiri lagu “Semangat Yang Hilang” membuatkan bergegar suasana dalam Zepp. Seakan tidak puas XPDC menghadiahkan lagu cover terakhir “For Whom The Bell Tolls” dari Metallica menutup persembahan mereka. Persembahan yang begitu memukau dengan menyajikan 30 buah lagu termasuk medley yang memuaskan peminat mereka. Lighting yang sederhana dan bunyi sound yang begitu baik walaupun kadangkala muzik orchestranya kurang kedengaran. Mungkin aku berada betul-betul dihadapan pentas agak kurang mendengar berbanding yang dibelakang pentas. Sekalung tahniah dan terima kasih buat penganjur RMR, Life Record, dan ROTTW. Temui mereka kembali di Konsert Fenomena Samurai pada 13 Disember 2025 di Stadium Sarawak, Kuching. Biarkanku damai..Bagaikan Samurai!!
TEKS : ALEY
FOTO : ALEY
Berikut sedikit rilisan akhbar dari penganjur
PARA SAMURAI & XPDC ‘PECAHKAN’ ZEPP KUALA LUMPUR DENGAN METALKESTRA
KONSERT SOLD OUT DENGAN DIHADIRI LEBIH 2000 PEMINAT!
Republic Mokhmah Records merealisasikan impian peminat XPDC dengan mengumumkan penganjuran konsert XPDC METALKESTRA yang menggegarkan ZEPP KUALA LUMPUR pada 8 NOVEMBER 2025.
XPDC kembali lagi dengan konsert yang memberi sesuatu untuk dikenang oleh penyokong-penyokong XPDC seperti Konsert Raksasa XPDC Brutal di Stadium Negara dan Shah Alam tahun 1998. Kali ini XPDC kembali dengan Konsert XPDC Metalkestra yang akan dijayakan dengan penuh karisma dan tenaga oleh Izo, Eddie, Arif, Lola dan Mamu – samurai sejati XPDC.
“Republic Mokhmah Records dengan sangat berbesar hati mengumumkan samurai XPDC menerusi konsert XPDC METALKESTRA akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur.”
“Apa yang lebih mengujakan apabila kami dan XPDC mencapai kata sepakat mengangkat tema Metalkestra dalam penganjuran julung kali ini,” ujar Encik Musa dari Republic Mokhmah Records.
Musa juga menyifatkan penganjuran XPDC Metalkestra sebagai pembuktian muzik rock yang diberi pelbagai label seperti rock kapak tidak pernah mati ditelan zaman.
XPDC menyifatkan tema Metalkestra yang menggabungkan genre metal dengan permainan orkestra sebagai pilihan tepat sementelah mereka mahu mempersembahkan sesuatu yang segar namun masih dalam balutan kental XPDC.
“Peminat bukan hanya akan menikmati heavy metal yang cukup sinonim dengan XPDC tetapi gabungan orkestra akan menambah kemewahan lagu-lagu yang akan dibawakan secara langsung kepada peminat.
“XPDC Metalketsra juga adalah sebuah apresiasi kami buat semangat peminat yang tidak pernah hilang dan menyokong kami dalam banyak fasa jatuh-bangun selama empat dekad ini.
“Konsert ini juga menjadi tanda aras XPDC tidak akan berhenti di hentian ini,” ujar Izo mewakili XPDC.
Malah konsert kali ini turut mengundang Ali dan Abang Gard yang sinonim dengan nama XPDC selaku vokalis istimewa di pentas Metalkestra.
Menarik lagi untuk konsert ini, dua pembeli tiket yang hadir dengan pakaian beragam samurai terbaik akan menangi hadiah Istimewa. Apa hadiahnya?…… mereka akan menerima gitar Jackson Izo Signature. Bukan satu… bukan dua tetapi gitar disediakan untuk pakaian terbaik dan cabutan bertuah ini. Dan hadiah ini dimenangi oleh:
Berikut merupakan senarai lagu XPDC METALKESTRA:
1- DUNIA 4 SEGI + KING EL MONDOQ
2-SAMURAI
3-BERDESUP CAHAYA
4-Medley SENAPANG PATAH + BAHALOL (inst.) + NTAHAPAPANTAH
5-HAPRAK
6-TANGGIS DARAH
7-Medley JANGAN TAK MANDI + HAIRAN BIN AJAIB
8-Medley JOHN JENIN + PELESIT MATA SEBELAH
Playback audio lagu RAHMAH-XPDC
9-Medley ABADIKAN TRAGEDI + AKU DAN SESUATU + NAFISA
10-MONGGOL DAH PULANG
11-RAJA KERTAS
12-TAK NAK JADI SOCHAI
13-TALAM DUA MUKA
14-Medley HENTIAN INI + TITIAN PERJALANAN
15-NYANYUK
16-KITA PENGYU
17-SELENDANG MERDEKA
18-CINTA
19-SEMANGAT YANG HILANG
Endcore
20-FOR WHOM THE BELLS TOLLS
Senarai pemuzik XPDC METALKESTRA
XDPC
Mamu- vokalist
Izo- gitaris
Arif- gitaris
Eddie- bassist
Lola- drummer
Penyanyi undangan: Abang Gard & Ali
Pemuzik undangan
Mustakim Yusof- keyboardist
Calie 4U2C & Syafiq Ikhwan- BVs
String –
Hadi Razli – Violin 1
Khalid Reduan- Violin 1
Wan Shafizul- Violin 1
Zul Fahmi- Violin 1
Luzman Aqil- Violin 2
Zack- Violin 2
Charissa Tan- Cello
Rizki Ikhsan- Cello
INFORMASI
Artis: XPD
Acara: XPDC METALKESTRA
Lokasi: ZEPP KUALA LUMPUR
Tarikh: 8 NOVEMBER 2025
Penganjur Utama: Republic Mokhmah Records











